Aku Melawan Teroris

Tuesday, February 28, 2006

Jangan Mempermainkan Rasul Kami

Briged Islam serang laman web

BERIBU laman web di Denmark dan Eropah diceroboh dan dirosakkan sebagai tindakan balas akibat penerbitan kartun yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Zone-H.org, organisasi yang mengesan gangguan sistem pelayan global, mendapati lebih 600 serangan dilakukan terhadap sistem pelayan web di Denmark selain di Israel dan Eropah yang dicerobohi dengan mesej pro-Islam.

Vendor sekuriti Internet, F-Secure turut menerbitkan paparan skrin laman web yang dirosakkan dengan menunjukkan nada anti-Denmark selain menyokong penunjuk perasaan di seluruh dunia.

Satu kumpulan yang memanggil diri mereka briged Islam Internet meletakkan satu imej mengenai pengeboman London pada satu forum popular pada laman web Denmark dengan mengancam serangan seperti itu tidak lama lagi.

Satu lagi laman membawa teks yang berbunyi, “Jangan sesekali mempermainkan Rasul kami”.

Kebanyakan laman web dirosakkan itu termasuk memasukkan imej perkataan Arab dengan teks bahasa Inggeris selain mengumumkan nama syarikat penerbitan yang menerbitkan kartun itu.

Penunjuk perasaan kini memanfaatkan online untuk merosakkan laman web tertentu.

Internet kini digunakan sebagai satu platfrom untuk menyebarkan protes siber berkaitan dengan apa yang berlaku di dunia.

Petikan: Berita Harian 10 Februari 2006

Monday, February 27, 2006

Jenayah Paling Kejam

DUBAI: Utusan khas Amerika Syarikat bagi diplomasi awam kelmarin mengakui penderaan terhadap tahanan di Iraq adalah satu jenayah tetapi ia tidak menggambarkan sama sekali dasar Washington di Timur Tengah.

Dalam satu temubual dengan gergasi penyiaran Arab, Al-Arabiya, Setiausaha Rendah Jabatan Negara, Karen Hughes berkata, Kerajaan Amerika tidak sepatutnya dinilai berdasarkan tindakan segelintir pihak tertentu.

“Ini adalah jenayah paling dahsyat dan melanggar undang-undang dan dasar kami. Mereka tidak mewakili Amerika Syarikat dan presiden sudahpun membuat kenyataan bahawa kami mahu semua tahanan dilayan dengan penuh hormat dan berperikemanusiaan,” kata Hughes.

Al-Arabiya yang mengendalikan temubual panjang dengan Hughes, yang rapat dengan Bush sejak beberapa tahun, hanya menyiarkan rakaman awal semalam.

Di Baghdad, tentera Amerika dilaporkan sudah membebaskan 430 tahanan lelaki sejak beberapa hari lalu selepas kajian semula dilakukan.

Kira-kira 14,000 tahanan berada di penjara Tentera Bersekutu termasuk Abu Ghraib di Baghdad, Camp Bucca dekat pelabuhan Umm Qasr dan Fort Suse di utara Sulaimaniyah.

Hughes tiba di Dubai, kelmarin selepas lawatan dua hari ke Doha, Qatar di mana beliau menghadiri Forum Dunia Islam-Amerika dan meminta pemimpin rantau berkenaan menentang keganasan.

Lawatan Hughes dilakukan ketika masyarakat Islam dan Arab marah dengan penyiaran karikatur Nabi Muhammad melalui sebuah akhbar Denmark pada September lalu, yang disiarkan semula kebanyakan akhbar Eropah sehingga menimbulkan bantahan yang menyaksikan keganasan berlaku.

Pada forum Sabtu lalu, Huges menyifatkan kartun berkenaan sebagai penghinaan terhadap Islam tetapi mengutuk reaksi ganas beberapa negara Islam yang menyebabkan 45 orang terbunuh.

“Banyak akhbar Amerika memilih tidak menyiarkan semula kartun Nabi Muhammad kerana mereka akur ia menghina baginda selain bercanggah dengan kepercayaan sahabat dan jiran Muslim kami,” katanya.

Tetapi, bantahan yang meletus sejak tiga minggu lalu bertukar kepada kemarahan terhadap Barat secara umumnya, khususnya terhadap Amerika dan Israel.

Hughes menuduh golongan militan menggunakan kontroversi kartun itu bagi mencetuskan konflik ketamadunan.

Mesej beliau kepada Dunia Islam dalam forum berkenaan juga adalah jelas - keganasan mesti dihentikan, lapor The Washington Post. – AP

“Kami tahu berdasarkan kenyataan dan tulisan mereka bahawa agenda sebenar golongan militan ialah mengambil alih kuasa di satu atau dua negara Islam untuk menentukan nasib jutaan pengikut (agama itu). Kita mesti hapuskan keganasan seperti yang dilakukan terhadap perhambaan. – AP

BH 21.02.2006

Tuesday, February 14, 2006

AS Maha Zalim

AS `aniaya' teruk warga Arab - Al Gore

JEDDAH 13 Feb. - Bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Al Gore mendakwa kerajaan AS bertanggungjawab melakukan ``penderaan dahsyat'' terhadap orang Arab selepas serangan 11 September 2001 dan kebanyakan rakyat negara itu tidak menyokong layanan sedemikian.

Menurut Gore, orang Arab telah ``ditangkap secara sembarangan'' dan ditahan dalam keadaan yang ``tidak boleh dimaafkan.''

Beliau berkata, pentadbiran Bush telah terjebak dalam permainan al-Qaeda dengan secara rutin menyekat permohonan visa rakyat Arab Saudi.

``Cara yang tidak terfikir dalam mengendalikan visa merupakan satu kesilapan.

``Perkara paling buruk boleh dilakukan adalah memutuskan terus saluran persahabatan dan persefahaman bersama antara Arab Saudi dan AS,'' kata Gore pada Forum Ekonomi Jeddah di sini.

Menurut Gore, orang Arab di AS telah ``ditangkap secara sembarangan, selalunya atas kesalahan kecil seperti tinggal melebihi masa yang ditetapkan dalam visa atau tidak mempunyai kad hijau yang mengikut aturan tetapi telah ditahan dalam keadaan yang tidak boleh dimaafkan.''

``Malangnya berlaku penderaan yang teruk dan ia adalah salah,'' ujarnya.

``Saya ingin nyatakan bahawa ia tidak menggambarkan kemahuan atau harapan atau perasaan majoriti rakyat di negara saya.''

Bagaimanapun beberapa hadirin forum telah mengkritik sokongan ``tanpa syarat'' AS terhadap Israel dengan mengatakan para diplomat AS membantu Israel mengapungkan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dikuatkuasakan apabila langkah tersebut ditujukan kepada negara-negara Arab.

Gore pula menjauhkan diri daripada memperkatakan persoalan yang berkaitan dengan konflik Palestin-Israel. - Agensi

Petikan: Utusan Malaysia 14 Februari 2006

Sunday, February 12, 2006

Provokasi Barat vs Jihad Islam

Vendor internet pula hina Rasulullah

WASHINGTON: Penjual baju-T menerusi internet, MetroSpy, terus menyemarakkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia apabila mengeluarkan baju-T memaparkan kartun Nabi Muhammad memakai serban berbentuk bom.

Kartun kontroversi yang pada mulanya disiarkan akhbar Denmark sebelum dicetak semula oleh beberapa akhbar Eropah, mencetuskan kemarahan umat Islam kerana paparan itu jelas menghina Nabi Muhammad dan Islam.

Tanpa menghiraukan imej tunjuk perasaan ganas yang disiarkan dari Asia Barat, MetroSpy memutuskan untuk menjual baju-T berkenaan dengan lakaran kartun itu terpampang di bahagian depan, berharga AS$18.99 (RM70) setiap satu.

“Kita tidak boleh membiarkan pengganas menang. Kita tidak boleh menggalakkan tindakan tidak bertamadun ini dengan tunduk kepada desakan mereka,” kata pengurus produk MetroSpy, Nate Thomas, merujuk kepada tindakan penunjuk perasaan Islam merosakkan bangunan dan membakar bendera.

Dalam laman web http://www.shopmetrospy.com/, MetroSpy mengutuk taktik penunjuk perasaan dan menggalakkan pelanggannya untuk bangun menentang keganasan.

“Kegagalan mencetak imej ini bermakna pengganas menang. Kami mahukan contoh mudah untuk mengamalkan kebebasan berucap dan menentang pengganas. Ciptaan ini sempurna,” katanya.

Sehingga kini, baju-T menghina pemimpin agung Islam itu menjadi barang paling laris dengan lebih 120 tempahan dibuat pada hari pertama ia mula dijual. – Agensi

Petikan: Berita Harian 12 Februari 2006

Monday, February 06, 2006

Bush Maha Kejam

Bush lebih kejam daripada Hitler

CARACAS: Presiden Venezuela, Hugo Chavez menyifatkan Presiden Amerika Syarikat, George W Bush lebih teruk daripada Hitler dan menegaskan negara itu menimbang untuk membeli lebih sejuta senjata api untuk mempertahankan negara itu daripada ditakluk AS.

Bercakap pada rapat umum bagi mengenang cubaan rampasan kuasa 1992 ketika beliau dalam tentera, Chavez memberi amaran Washington menimbang untuk menyerang Venezuela dan negara itu memerlukan lebih senjata api untuk mempertahankan diri.

“Kita masih memerlukan sejumlah besar raifal. 100,000 senjata Russia tidak memadai. Kita memerlukan lebih sejuta senjata api dan askar yang terlatih,” katanya.

Hubungan antara Washington dan Caracas tegang sejak beberapa bulan lalu ekoran tindakan AS mengkritik Venezuela membeli peralatan tentera termasuk lebih 100,000 raifal Kalashnikov buatan Russia.

Chavez memberitahu rakyatnya, beliau sudah mula menghubungi negara lain yang mampu membekalkan senjata api kepada negara itu.

Pada majlis sama, Chavez turut membidas kenyataan Setiausaha Pertahanan AS, Donald H Rumsfeld yang menyamakan beliau dengan Hitler selain memberi amaran terhadap pemimpin Bolivia dan Cuba yang kedua-dua sekutu Venezuela. – AP

Petikan: Berita Harian 6 Februari 2006