Monday, February 27, 2006

Jenayah Paling Kejam

DUBAI: Utusan khas Amerika Syarikat bagi diplomasi awam kelmarin mengakui penderaan terhadap tahanan di Iraq adalah satu jenayah tetapi ia tidak menggambarkan sama sekali dasar Washington di Timur Tengah.

Dalam satu temubual dengan gergasi penyiaran Arab, Al-Arabiya, Setiausaha Rendah Jabatan Negara, Karen Hughes berkata, Kerajaan Amerika tidak sepatutnya dinilai berdasarkan tindakan segelintir pihak tertentu.

“Ini adalah jenayah paling dahsyat dan melanggar undang-undang dan dasar kami. Mereka tidak mewakili Amerika Syarikat dan presiden sudahpun membuat kenyataan bahawa kami mahu semua tahanan dilayan dengan penuh hormat dan berperikemanusiaan,” kata Hughes.

Al-Arabiya yang mengendalikan temubual panjang dengan Hughes, yang rapat dengan Bush sejak beberapa tahun, hanya menyiarkan rakaman awal semalam.

Di Baghdad, tentera Amerika dilaporkan sudah membebaskan 430 tahanan lelaki sejak beberapa hari lalu selepas kajian semula dilakukan.

Kira-kira 14,000 tahanan berada di penjara Tentera Bersekutu termasuk Abu Ghraib di Baghdad, Camp Bucca dekat pelabuhan Umm Qasr dan Fort Suse di utara Sulaimaniyah.

Hughes tiba di Dubai, kelmarin selepas lawatan dua hari ke Doha, Qatar di mana beliau menghadiri Forum Dunia Islam-Amerika dan meminta pemimpin rantau berkenaan menentang keganasan.

Lawatan Hughes dilakukan ketika masyarakat Islam dan Arab marah dengan penyiaran karikatur Nabi Muhammad melalui sebuah akhbar Denmark pada September lalu, yang disiarkan semula kebanyakan akhbar Eropah sehingga menimbulkan bantahan yang menyaksikan keganasan berlaku.

Pada forum Sabtu lalu, Huges menyifatkan kartun berkenaan sebagai penghinaan terhadap Islam tetapi mengutuk reaksi ganas beberapa negara Islam yang menyebabkan 45 orang terbunuh.

“Banyak akhbar Amerika memilih tidak menyiarkan semula kartun Nabi Muhammad kerana mereka akur ia menghina baginda selain bercanggah dengan kepercayaan sahabat dan jiran Muslim kami,” katanya.

Tetapi, bantahan yang meletus sejak tiga minggu lalu bertukar kepada kemarahan terhadap Barat secara umumnya, khususnya terhadap Amerika dan Israel.

Hughes menuduh golongan militan menggunakan kontroversi kartun itu bagi mencetuskan konflik ketamadunan.

Mesej beliau kepada Dunia Islam dalam forum berkenaan juga adalah jelas - keganasan mesti dihentikan, lapor The Washington Post. – AP

“Kami tahu berdasarkan kenyataan dan tulisan mereka bahawa agenda sebenar golongan militan ialah mengambil alih kuasa di satu atau dua negara Islam untuk menentukan nasib jutaan pengikut (agama itu). Kita mesti hapuskan keganasan seperti yang dilakukan terhadap perhambaan. – AP

BH 21.02.2006

0 Comments:

Post a Comment

<< Home