Wednesday, December 28, 2005

Israel Bapak Penipu!

Rejim Israel cabul perjanjian damai

BAITULMAQDIS: Ketika parti baru Ariel Sharon mengumumkan penubuhan negara Palestin menjadi matlamatnya, kerajaan perdana menteri itu mengumumkan langkah memperluaskan kawasan penempatan Yahudi di Tebing Barat.

Pembinaan rumah baru itu yang diumumkan menerusi iklan di dada akhbar bagi mempelawa kontraktor menyertai projek itu, jelas mencabuli komitmen Israel menerusi pelan damai tajaan Amerika Syarikat.

Pelan pembangunan baru itu termasuk membina 228 rumah di penempatan haram Yahudi di Beitar Illit dan Efrat, kedua-duanya berhampiran dengan Baitulmaqdis.

Pembantu Sharon, Raanan Gissin berkata, pelan untuk pembinaan baru itu dirancang lima tahun lalu.

Katanya rumah itu akan dibina di kawasan penempatan yang akan kekal di bawah penguasaan Israel jika perjanjian damai dicapai dengan Palestin.

Ketua Perunding Israel, Saeb Erekat mengutuk perluasan kawasan perumahan Israel itu dan menggesa AS supaya segera campur tangan. Jurucakap Kedutaan AS di Israel pula tidak mengeluarkan kenyataan.

Pelan pembinaan rumah baru itu muncul ketika parti baru Sharon, Kadima membayangkan ia sedia menyerahkan lebih banyak kawasan yang dirampasnya daripada Palestin di Tebing Barat serta berusaha ke arah penubuhan negara Palestin merdeka selepas pilihan raya 28 Mac depan.

Sementara itu, Israel terus mengganas awal pagi semalam apabila jet Yahudi membedil kawasan di utara Gaza, kata saksi. Kelmarin, tentera Yahudi turut melancarkan serangan meriam di Gaza.

Israel menyatakan ia akan menguatkuasakan kawasan larangan di utara Gaza bagi mengelak serangan balas oleh pejuang Palestin.

Sementara itu, khabar angin mengenai keadaan kesihatan pemimpin Palestin, Mahmoud Abbas bertiup kencang awal semalam, selepas laporan menyatakan pemimpin itu pergi ke hospital Ramallah lewat kelmarin.

Bagaimanapun, desas desus itu segera ditamatkan pegawai kanan Palestin yang menyatakan Mahmoud melawat seorang pemimpin Fatah yang diserang angin ahmar. – AP

FAKTA NOMBOR

9 - Sasaran dibedil jet penggempur Israel di Gaza
2 - Pejabat briged al-Aqsa musnah

Petikan: Berita Harian 28 Disember 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home