Friday, December 02, 2005

Pulangkan Apa Yang Telah Engkau Rampas...!!!

TEMBOK pemisah Israel di Qalqilya, Tebing Barat. Gambar kecil, pemandangan udara tembok pemisah Israel di timur Baitulmaqdis yang merampas sebahagian daripada kawasan Tebing Barat daripada penduduk Palestin. - Agensi.

Israel rampas tanah Palestin

BAITULMAQDIS 1 Dis. - Menteri Kehakiman Israel, Tzipi Livni berkata, tembok pemisah Tebing Barat yang dibina oleh pihaknya akan menjadi sempadan dengan Palestin pada masa akan datang.

Sebelum ini Israel menyatakan, pembinaan tembok tersebut bertujuan menghalang kemasukan penyerang berani Palestin daripada memasuki negara Yahudi itu.

Bagaimanapun kenyataan Livni itu menepati dakwaan Palestin bahawa pagar, tembok dan dawai berduri tersebut mempunyai implikasi politik.

Tembok pemisah yang dibuat memasuki jauh ke dalam kawasan Tebing Barat menyebabkan sesetengah penempatan Yahudi terkepung.

Pihak Palestin mendakwa tindakan Israel itu bertujuan untuk merampas tanah dan telah menyebabkan berpuluh-puluh ribu penduduk Palestin tidak dapat ke tempat bekerja, sekolah dan ladang.

``Seseorang tidak perlu cerdik untuk melihat bahawa pagar itu mempunyai implikasi terhadap sempadan masa depan,'' lapor akhbar Haaretz yang memetik kenyataan Livni.

``Ini bukan alasan kewujudannya, tetapi ia menyebabkan adanya implikasi politik.''

Ketua perunding damai Palestin, Saeb Erekat berkata, kenyataan Livni itu mengesahkan bahawa Israel mahu merampas tanah yang hendak dijadikan sebahagian daripada negara Palestin pada masa depan.

``Perkembangan ini sangat berbahaya dan merosakkan peluang untuk menjayakan rundingan status terakhir,'' kata Saeb hari ini.

``Kenyataan ini membuktikan bahawa Israel mahu membuat ketetapan dan bukan hendak mengadakan rundingan.''

Tembok pemisah itu menyebabkan lapan peratus daripada wilayah Palestin di Tebing Barat terletak di sebelah `Israel' untuk dijadikan kawasan penempatan Yahudi.

Hakim Mahkamah Agung, Michael Cheshin memberitahu Livni bahawa kenyataannya bertentangan dengan pengakuan pendakwa raya dalam kes mahkamah berhubung tembok tersebut.

Israel telah menyatakan tembok keselamatan itu hanya untuk sementara waktu dan akan dirobohkan atau dipindahkan pada masa depan.

Buat masa ini tembok itu dibina di daerah-daerah Qalqilya, Tulkarem, Jenin, Ramallah, Baitulmaqdis dan Baitulaham melibatkan kira-kira 250 jentolak manakala kerja ukur tanah dilakukan di seluruh Tebing Barat sebagai persiapan untuk pembinaan seterusnya.

Sepanjang 245 kilometer daripada tembok itu telah dibina, iaitu 34 peratus daripada panjang keseluruhan kira-kira 730 kilometer. - AP

Petikan: Utusan Malaysia 2 Disember 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home