Monday, October 24, 2005

Tentera AS cuci kasut guna al-Quran

TELUK GUANTANAMO: Tentera Amerika Syarikat di Afghanistan menggunakan halaman yang dikoyakkan dari naskhah al-Quran untuk mengesat dan menyuci kasut mereka yang kotor, kata seorang tahanan Islam di penjara Amerika di Cuba itu.

Jumah Al-Dossary, 30, salah seorang daripada enam warga Bahrain yang ditahan di penjara Guantanamo mengesahkan bahawa al-Quran dihina di kem itu manakala tahanan Islam turut menjadi mangsa penderaan seksual, lapor The Associated Press.

Al-Dossary berkata, beliau melihat dengan mata kepalanya sendiri tentera Amerika di Pangkalan Udara Tentera Amerika di Kandahar, Afghanistan membersihkan kasut mereka menggunakan kertas yang dikoyak dari naskhah al-Quran.

Menurut dokumen sulit yang baru didedahkan oleh peguamnya, Joshua Colangelo-Bryan, Al-Dossary dibelasah dan dipijak oleh lapan tentera Amerika sejurus selepas tahanan Islam itu baru menjalani pembedahan perut.

Menurut dokumen itu, pada September 2002, al-Dossary dibawa ke bilik soal siasat dan berdepan dengan empat polis tentera dengan salah seorang daripadanya membawa kamera video.

Katanya, beliau dirantai di atas lantai sebelum dilucutkan pakaian sehingga bogel atas arahan seorang penyoal siasat wanita.

“Wanita itu kemudiannya berbogel, bertinggung di atas kemaluan, dada dan muka saya sebelum dia mengesat darah haidnya ke atas badan saya bagi memaksa saya membuat pengakuan mempunyai hubungan dengan rangkaian al-Qaeda,” kata al-Dossary yang dicatatkan dalam dokumen itu.

Selepas bertemu dengan enam tahanan Bahrain di penjara Guantanamo, Colangelo-Bryan, yang baru tiba di Amerika berkata, enam lelaki itu kini bimbang mereka terpaksa merengkuk di dalam penjara itu seumur hidup.

Sementara itu, laporan terbaru menyatakan, tentera Amerika berulang kali memasukkan tiub makanan kotor ke hidung banduan yang melancarkan mogok lapar sehingga banduan itu muntah darah. – Agensi

“Mereka menjolok salur itu menerusi hidung banduan sehingga salur itu tiba ke perut berulang kali,” kata peguam yang melaporkan kejadian itu kepada hakim persekutuan Amerika pada Ogos lalu.

“Keadaan itu mengakibatkan banduan terbabit muntah darah. Apabila muntah, tentera menghina banduan dengan menyatakan, lihatlah apa yang agama kamu lakukan ke atas diri kamu,” menurut dokumen itu yang baru didedahkan, lapor Associated Press.

Warga Arab Saudi, Yousef al Shehri, 21, yang ditahan di Guantanamo, berkata pegawai memindahkan tiub itu dari seorang banduan kepada banduan lain tanpa mencucinya terlebih dulu.

Seorang lagi banduan berkata, doktor tentera menjolok tiub itu menerusi hidungnya ke perut sehingga menyebabkannya muntah darah. – Agensi

Petikan: Berita Harian 24 Oktober 2005

1 Comments:

Blogger Abu Bakr said...

Kami telah mendengar dan membaca bermacam-macam kisah tentang bagaimana kitab suci Al-Qur'an telah diperlekeh dan dicemari oleh askar-askar Amerika Syarikat serta kuncu-kuncunya di Teluk Guantanamo. Perbuatan mereka terlalu biadap dan kejam. Tiada perkataan lain yang dapat menceritakan segala perasaan amarah yang semakin membara terhadap perbuatan mereka. Semoga umat Islam sedunia tidak terus leka dan mendiamkan diri dengan penghinaan ini.

10:34 AM  

Post a Comment

<< Home