Idea Bapa Penganas Dunia
WASHINGTON: Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS), Tom Tancredo, enggan memohon maaf atau menarik balik cadangannya supaya kota suci Makkah dibom sebagai tindak balas jika beberapa bandar negara itu diserang pengganas Islam yang menggunakan senjata nuklear.
Malah biarpun mendapat kecaman antarabangsa dari Turki, Moscow serta kerajaan AS sendiri, Tancredo yang juga anggota Republikan Denver - parti pimpinan Presiden George W Bush itu, tetap mempertahankan kenyataannya atas alasan cadangannya itu bukanlah bertujuan mencetuskan kemarahan kalangan Muslim yang berfahaman sederhana.
"Saya cuma melontarkan beberapa idea, tetapi jika serangan itu benar berlaku, ia harus dibalas dengan tindakan maksimum," katanya yang dipetik akhbar Denver, The Rocky Mountain News.
Dia juga mendakwa media sengaja memperbesar-besarkan kenyataannya itu.
Dia membuat cadangan itu dalam satu program stesen radio WFLA-AM di Orlando, Florida, apabila pengacara program berkenaan, Pat Campbell bertanyakan kepada Ahli Kongres Littleton itu bagaimanakah cara tindak balas AS jika beberapa bandar di negara terbabit diserang senjata nuklear.
"Kerana anda bertanyakan soalan itu...jika ia berlaku di Amerika dan kalau benar ia dilakukan oleh pengganas Islam...kita mungkin boleh mengebom tanah suci mereka," jawab Tancredo.
Sementara itu, di Ankara, Menteri Luar Turki Abdullah Gul menyelar kecaman Tancredo yang disifatkan tidak bertanggungjawab dan keterlaluan.
"Ini tidak lain daripada seorang fanatik yang bercakap tanpa usul periksa, tidak bertanggungjawab dan tanpa memikirkan kesan jangka panjang tindakannya itu. Ia adalah serangan peribadi," katanya yang dipetik agensi berita Anatolia.
Di Moscow, ahli Parlimen Russia, Konstantin Kosachev dalam sidang media, turut mengecam Tancredo. "Kenyataan seperti itulah yang dinantikan pengganas untuk mencetuskan huru hara dan seterusnya serangan baru. Ia keterlaluan," katanya yang dipetik agensi berita tempatan, Novosti.
Di Washington, Jurucakap Jabatan Negara Adam Ereli menyifatkan kenyataan Tancredo itu jelas menghina Islam dan tidak mewakili pendirian kerajaan AS.
"Hakikatnya, rakyat dan kerajaan AS menghormati kemuliaan agama lain dan segala tindak tanduk yang melampau itu bertentangan dengan ajaran agama masing-masing." – Age
Petikan: Berita Harian 21 Julai 2005
0 Comments:
Post a Comment
<< Home