Thursday, September 01, 2005

Propaganda Barat Disebalik Tragedi London

SERANGAN BOM KOTA LONDON : KESEMPATAN PROPAGANDA BARAT KE ATAS UMAT ISLAM.

Pada 7hb Julai 2005, dunia dikejutkan dengan satu lagi tragedi serangan bom. Kali ini, giliran kota London pula mengalaminya. Sebuah bas dan tiga stesen tren bawah tanah menjadi sasaran. Ketika makalah ini ditulis, seramai 50 orang telah dilaporkan terkorban manakala 700 orang yang lain cedera. Sehingga kini pihak berkuasa Britain masih belum dapat mengesahkan siapakah yang menjadi dalang disebalik pengeboman tersebut. Meskipun begitu, kebanyakkan pemimpin barat dan media massa telah pun membuat anggapan awal dengan mengatakan bahawa kumpulan pengganas Islamlah yang melakukannya.

Berikutan serangan bom ke atas kota London, pihak berkuasa di sesetengah negara mula melancarkan operasi keselamatan seperti menambah bilangan anggota bersenjata yang bertugas di tempat-tempat strategik dan ada juga yang mula melakukan soal-siasat serta penangkapan. AFP melaporkan bahawa kerajaan Itali menerusi kementerian dalam negerinya telah menahan 142 orang pendatang yang mana setengah daripadanya merupakan pendatang tanpa izin di dalam satu operasi keselamatan besar-besaran selama dua hari di kawasan utara wilayah Lombardy, Milan. Di dalam operasi selama 48 jam tersebut, mereka telah menyoal siasat lebih 7000 orang termasuklah 800 orang pendatang dan rakyat asing. Bernama pula melaporkan bahawa kerajaan Singapura akan menubuhkan satu unit khas di dalam pasukan polis untuk mengawasi semua operasi stesen bawah tanahnya. Ini dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga rentetan daripada peristiwa serangan bom di kota London minggu lepas.

Bersiap-siaga terhadap kemungkinan diserang di kalangan negara-negara dunia lain berikutan serangan bom kota London merupakan tindakan yang wajar. Pihak berkuasa tempatan juga berhak untuk melakukan apa yang perlu demi menjaga keselamatan penduduk awam yang lain. Akan tetapi, perbuatan mengambil kesempatan rentetan kejadian serangan bom di London tempoh hari dengan melancarkan propaganda baru ke atas umat Islam merupakan tindakan yang tidak dapat diterima oleh umat Islam. Dalam menghadapi serangan propaganda yang bertubi-tubi ini, apakah yang sewajarnya dilakukan oleh umat Islam?

PROPAGANDA BARAT

CNN melaporkan bahawa Perdana Menteri Britain, Tony Blair dengan nada yakin melaungkan bahawa serangan bom ke atas penduduk kota London yang mengorbankan 50 orang itu adalah sebagai serangan keganasan terhadap penduduk dunia. Kerana itu, beliau mengajak agar seluruh penduduk dunia menentang anasir-anasir pengganas ini. Mungkin Blair terlupa statistik korban umat Islam di Iraq, yang disediakan oleh Iraq Body Count yang menjelaskan kepada kita bahawa korban masyarakat awam di Iraq adalah dianggarkan sebanyak 22,787 - 25,814 orang. Jadi siapakah Pengganas sebenarnya? Blair mengajak rakyat Britain dan dunia amnya agar bersama-sama menentang keganasan yang dikatakannya sebagai sesuatu yang mengakar (deep rooted) di dalam dunia Islam. Tanggapan ini didasarkan kepada ketidakstabilan politik yang sedang melanda dunia Islam hari ini. Oleh itu tidak hairanlah walaupun belum selesai penyiasatan, kumpulan Al-Qaeda telah dipersalahkan atas kejadian tersebut.

Tony Blair di dalam kenyataan rasminya menyatakan bahawa pengeboman yang berlaku di London ini adalah perbuatan puak pengganas Islam. Media-media Britain pula melaporkan sebuah laman web yang menurut mereka ditaja oleh "Pertubuhan Rahsia Al Qaeda Eropah" telah Mengeluarkan kenyataan rasmi mengaku melakukan siri serangan bom di kota London tempoh hari. Walaubagaimanapun, terdapat kesilapan di dalam kenyataan tersebut yang menunjukkan kepada kita bahawa laman web tersebut bukanlah ditaja oleh kumpulan al-Qaeda. Terdapat dua sebab mengapa dikatakan laman tersebut bukan ditaja oleh kumpulan Al Qaeda:

Pertama: Biasanya, semua kenyataan-kenyataan rasmi Al-Qaeda akan dihantar terlebih dahulu kepada wartawan Arab dan bukannya dari BBC atau Reuters. Kenyataan ini mula ditimbulkan di dalam media massa arus perdana dan selepas itu baru dikutip oleh media Arab dan ini amat bercanggah dengan tindakan yang dilakukan oleh al-Qaeda sebelum ini. Realiti ini sahaja sudah cukup untuk meragukan kesahihannya.

Kedua: Bahasa Arab yang digunakan di dalam kenyataan rasmi dan laman web tersebut terdapat banyak kesalahan nahu. Tetapi, kesalahan yang paling utama ialah kecacatan didalam memetik dalil daripada ayat-ayat Al Quran. Padahal, bagi para pejuang Mujahidin yang hidup dan mati mereka semata-mata kerana hendak meninggikan kalimat Allah SWT, kesilapan di dalam menulis dan membaca ayat-ayat suci Al Quran sudah dianggap kesilapan yang besar.

Mungkin dalam masa terdekat, Al-Qaeda akan dipersalahkan melakukan serangan tersebut tetapi mereka tidak boleh mengaitkannya dengan hanya menyebarkan dakwaan-dakwaan palsu yang tersebar luas ketika ini. Walau apa jua hasil siasatannya nanti, meskipun terdapat keraguan di dalam tohmahan tersebut, Britain akan terus menuduh puak pengganas Islam yang melakukannya. Mereka akan terus melancarkan kempen membenci komuniti Islam di seluruh dunia. Laungan hapuskan teroris Islam akan terus berkumandang dan kempen ini akan terus berlaku secara berterusan sehinggalah hasrat mereka tercapai.

ISLAM MELAWAN PROPAGANDA KAUM KUFFAR

Propaganda yang dilancarkan oleh kaum kuffar mestilah ditentang berdasarkan perspektif Islam. Aqidah Islam telah mengangkat martabat umat Islam ke taraf yang cukup tinggi. Cara berfikir Islam berbeza dengan cara berfikir kaum kuffar. Umat Islam tidak seharusnya terperangkap dengan permainan propaganda yang dilancarkan oleh kaum kuffar. Pertentangan di antara pemikiran Islam dan idea-idea kuffar telah berlaku sejak Rasulullah SAW menerima wahyunya yang pertama. Pertentangan ini akan terus berlangsung sehingga kalimat Allah SWT tertegak seluruhnya di muka bumi ini. Apakah pula alasan kita untuk menafikan pertentangan tersebut?. Firman Allah SWT :

"Dialah Tuhan yang mengutus RasulNya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar untuk dimenangkan atas seluruh agama yang ada, meskipun orang-orang musyrik membencinya" [TMQ Ash Shaff (61) : 9]

Pada akhir bulan Rejab tahun kedua hijrah, iaitu setelah berlakunya perang Safawan atau lebih dikenali sebagai perang badar pertama, berlaku pula suatu peristiwa yang mencetuskan konflik di antara kaum kuffar di Mekah dan kaum muslimin di Madinah. peristiwa tersebut berkisar tentang pembunuhan yang dilakukan oleh sariyah yang diketuai oleh Abdullah bin Jahsy. Sariyah adalah sebuah pasukan bersenjata kecil yang terdiri daripada 9-10 orang. Sariyah ini telah diutus oleh Rasulullah SAW untuk melakukan pengintipan ke atas pergerakan pasukan kaum Quraisy. Dengan takdir Allah SWT, berlaku kejadian yang tidak diingini ketika mereka didalam perjalanan yang mana dua daripada anggota sariyah telah hilang kerana keluar mencari unta mereka yang tersesat. Sariyah tiba-tiba bertembung dengan kafilah dagang Quraisy yang dipimpin oleh Amru bin al-Hadhramiy. Selain Amru al Hadhramiy, kafilah tersebut turut disertai oleh Utsman bin Abdullah, al Hakam bin Kaisan dan Naufal bin Abdullah. Sariyah pimpinan Abdullah bin Jahsy bermusyawarah untuk menentukan langkah mereka yang seterusnya. Mereka memikirkan samada hendak pulang atau menyerang kafilah tersebut. Jika pulang, kafilah itu akan terlepas begitu sahaja dan bagaimana pula nasib dua rakan mereka yang hilang itu? Setelah agak lama bermusyawarah, mereka mengambil keputusan untuk menyerang kafilah kaum kafir Quraisy tersebut. Akhirnya, Amru bin al-Hadhramiy mati terbunuh, dua daripada anggotanya ditawan iaitu Utsman bin Abdullah dan al Hakam bin Kaisan manakala Naufal bin Abdullah berjaya melarikan diri. Setelah kepulangan sariyah pimpinan Abdullah bin Jahsy tiba di kota Madinah, mereka segera menemui Rasulullah SAW. Baginda lalu bersabda :

"Aku tidak memerintahkan kalian membunuh mereka pada bulan haram". Lalu Rasulullah SAW membiarkan dua tawanan dan harta rampasan tanpa mengambil apa-apa keputusan. [Ibnu Hisyam, Sirah Nabi Jilid 1]

Pada masa yang sama, pihak kaum kafir Quraisy menjadikan peristiwa ini sebagai alat untuk melancarkan propaganda terhadap kaum muslimin di Madinah. Orang-orang Quraisy berkata: "Muhammad dan sahabat-sahabatnya telah menghalalkan bulan haram, menumpahkan darah di bulan haram, merampas harta di bulan haram, dan menawan orang-orang di bulan haram." Segelintir kaum muslimin yang menetap di dalam kota Mekah menangkis tuduhan tersebut dengan mengatakan bahawa mereka melakukannya pada awal bulan Syaban. Keadaan menjadi semakin genting apabila kaum Yahudi turut serta mencela apa yang telah dilakukan oleh Abdullah bin Jahsy. Pada masa yang sama Rasulullah SAW tetap berdiam diri dan kaum muslimin pula terus merasa resah akibat tuduhan dan celaan yang tidak berpenghujung. Sehinggalah tidak berapa lama selepas itu, Allah SWT menurunkan wahyu :

"Mereka bertanya kepadamu tentang berperang pada bulan Haram. Katakanlah: Berperang pada bulan itu adalah dilarang tetapi menghalangi (manusia) dari jalan Allah, kafir kepada Allah, (menghalangi masuk) Masjidil Haram dan mengusir penduduk dari sekitarnya, adalah lebih buruk (dosanya) di sisi Allah. Dan berbuat fitnah lebih besar (dosanya) daripada membunuh. Mereka tidak henti-henti memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu ( kepada kekafiran) seandainya mereka sanggup." [TMQ Al Baqarah (2) : 217]

Ketika ayat ini diturunkan, kaum muslimin menyambutnya dengan gembira dan berasa lapang dada. Nabi SAW segera mengambil harta rampasan itu dan dua tawanannya. Ayat di atas dengan jelas mengandungi jawapan yang mematikan berbagai propaganda yang dilancarkan oleh orang-orang Quraisy. [Ibnu Hisyam, Sirah Nabi Jilid 1]

MEMAHAMI SITUASI UMAT

Situasi yang dihadapi oleh umat Islam pada hari ini tidak jauh berbeza. Dengan ucapan-ucapan penuh retorik, para pemimpin G8 yang bersidang di Gleneagles dengan segera mengambil kesempatan atas kejadian di kota London itu untuk menguatkan lagi usaha menentang keganasan. Pihak media pula membuat spekulasi awal iaitu tentang laman web "Pertubuhan Rahsia Al Qaeda Eropah" dan pengebom berani mati. Semuanya samada sedar atau tidak telah melahir dan memperhebatkan lagi syak wasangka ke atas komuniti kaum muslimin.

Pada masa inilah, iaitu ketika komuniti muslimin sedang dituduh, diserang dari pelbagai penjuru dan berhadapan dengan pelbagai persoalan, kita seharusnya bertanya kepada diri kita, apakah yang sewajarnya kita lakukan untuk mengatasi semua ini. Ini sebenarnya adalah suatu bentuk ujian dari Allah SWT. Kita akan dipersoal tentang sikap kita dalam menghadapi apa yang berlaku.

"Dan sesungguhnya kami benar-benar akan menguji kamu sehingga kami mengetahui siapakah yang bermujahadah dan yang bersabar di antara kamu, dan kami akan menyatakan hal ehwalmu" ( siapakah yang berdusta, dan siapakah yang benar) [TMQ Muhammad (47): 31]

Allah telah mengangkat umat Islam untuk memikul dakwah Islam dan terus menyatakan yang hak walaupun berhadapan dengan berbagai provokasi dan ujian.. Sesungguhnya menyatakan kebenaran tentang segenap aspek penjajahan ke atas dunia kaum muslimin, pembunuhan dan maruah yang dirampas oleh kuasa-kuasa barat merupakan kewajipan yang paling tinggi dan agung. Peristiwa yang berlaku di kota London sudah tentu akan digunakan oleh kuasa-kuasa barat ini untuk menutup mulut kaum muslimin dan meletakkan kaum muslimin terus menerus di dalam keadaan yang defensif dan menyerah kalah dalam menyuarakan kebenaran. Memang benar, hukum di dalam Islam tidak membenarkan pembunuhan jiwa orang-orang awam, tetapi pada masa yang sama, Islam tidak membenarkan kaum muslimin dicemuh dan terus diperlecehkan tanpa bukti yang kukuh atau lemah.

Sebenarnya, spekulasi yang diada-adakan itu hanyalah untuk melahirkan ketakutan di dalam jiwa kaum muslimin agar mereka mengubah pendirian mereka terhadap hegemoni barat. Sekiranya kaum muslimin tetap berpegang kepada Islam dan tetap mengatakan yang hak, ia akan dijadikan pula alasan untuk menahan dan memasukkan mereka ke dalam penjara.

"Tidak ada sebab mengapa kami tidak bertawakkal kepada Allah. Sesungguhnya Dialah yang telah menunjukkan jalan kepada kami, dan kami benar-benar akan bersabar terhadap gangguan-gangguan yang kamu lakukan kepada kami. Dan hanya kepada Allah sahaja orang-orang yang bertawakkal itu berserah diri" [TMQ Al Ibrahim (14) : 12]

KHATIMAH

Penentangan ke atas kaum kuffar ini tidak akan memberi kesan sekiranya kaum muslimin kembali bersatu di bawah satu entiti politik; entiti politik yang mempunyai kuasa politik untuk melawan arus propaganda yang dilancarkan oleh kaum kuffar. Agar ianya dapat menjadi kenyataan, kita mestilah berganding bahu, berusaha dan bertawakal kepada Allah SWT supaya dapat memberikan kemenangan yang dekat kepada kita dengan tertegaknya Khilafah Islamiyyah. Inilah entiti politik yang dapat menyatukan umat Islam serta menjadi perisai bagi melindungi kaum muslimin daripada cengkaman politik dan ekonomi kuasa-kuasa barat. Khilafah Islamiyyah ini, dengan izin Allah, akan muncul semula menjadi kuasa dunia, membawa cahaya menerangi kegelapan yang sedang menyelubungi dunia kaum muslimin ketika ini.

"Kebenaran (Islam) itu dari Tuhanmu, maka janganlah sekali-kali kamu menjadi orang yang ragu" [TMQ Al-Baqarah (2) : 147]

Wahai kaum muslimin, tetap teguhlah kalian dengan Islam, nescaya Allah akan menjulang semula maruah kalian !

Wallahualam.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home