Bush pengganas terbesar dunia
CRAWFORD: Penunjuk perasaan antiperang membakar lilin, menyanyi dan
melaungkan slogan di seluruh Amerika Syarikat kelmarin bagi menyokong
Cindy Sheehan yang berkhemah dekat kediaman Presiden George W Bush bagi
menggesa pemimpin mereka membawa pulang askar dari Iraq.
Anak Sheehan, Casey, terbunuh di negara Teluk itu setahun lalu.
Satu agensi berita memetik Sheehan sebagai berkata: Kita bukan
melancarkan kempen memerangi keganasan. Kita sendiri yang melancarkan
perang ganas. Pengganas terbesar dunia ialah George W Bush!
Sheehan dipetik berkata demikian dalam satu perhimpunan awal tahun ini di
Universiti San Francisco State.
Tidak syak lagi Sheehan kini menjadi tarikan aktivis antiperang yang
beramai-ramai bersamanya sejak 6 Ogos lalu di Crawford, sebuah daerah 705
penghuni, ketika Bush sedang bercuti.
Lebih 1,800 askar Amerika terbunuh di Iraq dan beribu-ribu lagi cedera.
Kita melancarkan perang nuklear di Iraq sekarang. Negara itu sudah
tercemar. Pencemarannya berterusan sampai bila-bila.
Jika Bush percaya dengan kata-katanya dan pembohongannya bahawa beliau
melancarkan perang untuk kebebasan dan demokrasi, adakah dia fikir setiap
orang yang dibunuhnya menjadikan Iraq lebih selamat?
Seluruh dunia terjejas. Begitu juga dengan kemanusiaan kita. Jika dia
fikir penting bagi Iraq dipaksa mengamalkan kebebasan dan demokrasi
ala-Amerika, dia perlu hantar dua anak perempuannya ke sana. Mereka perlu
bertugas di medan perang itu, kata Sheehan lagi.
Kumpulan antiperang seperti MoveOn.org, True Majority dan Democracy for
America menaja 1,627 perhimpunan yang digelar Sesi doa untuk Cindy
Sheehan di 50 negeri.
Sekurang-kurangnya 60,000 orang akan hadir, kata Tom Matzzie, pengarah
MoveOn.orgm di Washington.
Di khemah Sheehan, orang yang hadir untuk memberi sokongan, membaca nama
askar yang terbunuh di Iraq di depan sebuah keranda olok-olok.
Beratus-ratus lagi berkumpul di depan Rumah Putih bagi menunjukkan
sokongan kepada Sheehan dan menggesa Bush menemuinya.
Mereka menjerit jumpa dengan Cindy, beritahu perkara sebenar kepadanya
dan hentikan perang sekarang selain memegang sepanduk America stands
with Cindy.
Satu peta Amerika yang dilukis pada bendera kebangsaan di luar khemah
Sheehan meminta setiap pelawat menulis asal tempat mereka. Kebanyakannya
dari California selain Texas dan Pantai Timur Amerika.
Tetapi, ada juga pelawat dari negara luar termasuk Scotland, Austria,
Jepun, Turki, Jerman, Australia, Colombia, Costa Rica dan Paraguay.
Agensi/Reuters
Petikan: Berita Harian 19 Ogos 2005
0 Comments:
Post a Comment
<< Home