Friday, November 18, 2005

`berada di syurga'

Pengebom Bali dakwa `berada di syurga'

JAKARTA 17 Nov. - ``Sekarang saya sudah berada di jannah (syurga). Insya-Allah,'' kata seorang lelaki yang dikenal pasti oleh polis Indonesia sebagai seorang daripada tiga orang yang terlibat melakukan pengeboman di Bali pada 1 Oktober lalu yang membunuh 23 orang termasuk mereka bertiga.

Ucapan dalam satu video yang turut merakamkan pengakuan oleh tiga lagi lelaki yang dikaitkan dengan pengeboman berani mati itu, ditontoni bersama oleh Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla dan beberapa ulama dari Jawa Timur di kediamannya di sini malam tadi.

Pengakuan itu dikatakan dirakam beberapa hari menjelang kejadian di Kuta dan Jimbaran, dua pusat tumpuan pelancong di pulau peranginan terkemuka itu, demikian menurut laman web berita Metrotvnews hari ini.

Seorang pengebom berani mati, yang rupanya dikatakan mirip kepala lelaki yang tertanggal dalam aksi bom bunuh diri di Cafe Nyoman, Jimbaran dirakam berkata demikian selain membacakan beberapa petikan ayat dalam al-Quran untuk membenarkan tindakannya.

Seorang lagi berkata: ``Dalam al-Quran disebutkan seseorang yang mati syahid itu berada dalam perut burung hijau yang terbang ke jannah.

``Jangan sekali-kali menyangka yang terbunuh di jalan Allah itu mati, padahal mereka hidup,'' katanya.

Dalam rakaman itu dia juga ditampilkan bercakap dalam bahasa Arab.

Lelaki berwajah mirip kepala pengebom berani mati di Raja's Bar & Restaurant di Kuta dalam rakaman itu pula mengucapkan salam perpisahan kepada ibunya dengan menyebut: ``Terima kasih kepada ibu. Ibu, aku teringat akan semua nasihat yang sangat berharga bagiku. Lebih berharga dari semua kemewahan dunia ini,'' katanya.

Dia meneruskan ucapan dalam bahasa Arab.

Seorang lagi yang dipercayai oleh polis Indonesia sebagai rakyat Malaysia, Nordin Mat Top kerana bercakap dalam loghat Melayu dalam video yang sama.

Menurut akhbar Jawa Pos pula, pelbagai alasan disebutkan oleh ketiga-tiga pengebom berani mati itu untuk menjelaskan kenapa mereka bertindak demikian, termasuklah demi melakukan jihad melawan Amerika Syarikat, Australia, Britain dan Itali.

VCD selama 15 minit itu dijumpai oleh polis di sebuah rumah yang dipercayai tempat persembunyian Nordin di Semarang, Jawa Tengah baru-baru ini.

Selepas menonton rakaman video itu, beberapa ulama berkata, pengebom berani mati berkenaan keliru dan ajakan mereka untuk berjihad juga salah tempat kerana di Indonesia majoriti rakyatnya beragama Isam.

Polis Indonesia dikatakan akan menyebarkan salinan pita video itu khususnya kepada para ulama untuk membantu menjelaskan kepada masyarakat konsep jihad yang sebenar dan kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan oleh pengebom berani mati itu. - Bernama

Petikan: Utusan Malaysia 18 November 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home