Friday, November 18, 2005

Amaran!!!

LELAKI bertopeng, yang dipercayai oleh pihak berkuasa Indonesia sebagaiNordin Mat Top membuat pengakuan untuk melancarkan serangan di sasaranyang ada kepentingan dengan Barat. Pengakuannya disiarkan oleh Metrotvnews semalam. - AFP.

Amaran pengganas serang negara ASEAN

JAKARTA 17 Nov. - Ketua Polis Indonesia, Sutanto hari ini menggesa negara-negara Asia Tenggara berjaga-jaga terhadap kemungkinan serangan berani mati selepas serangan-serangan yang dilancarkan di negara itu baru-baru ini.

Sutanto yang bercakap pada majlis pembukaan pertemuan ketua-ketua polis ASEAN berkata, kumpulan-kumpulan militan sentiasa menukar strategi bagi mengelak mereka daripada ditangkap.

Beliau menyatakan demikian selepas penyiaran sebuah video yang dirampas oleh polis Indonesia pada minggu lalu yang menunjukkan seorang lelaki bertopeng memberi amaran serangan-serangan lanjut akan dilancarkan ke atas Barat terutamanya Australia.

``Kebanyakan serangan bom ini dilancarkan oleh penyerang berani mati dan ia juga mungkin berlaku di negara-negara anggota ASEAN ekoran kita gagal mencari jalan menghalangnya,'' katanya.

Beliau berkata, pihaknya mendapat maklumat pengganas berkenaan sentiasa meningkatkan kecanggihan mereka dan kerjasama dengan pelbagai kumpulan bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.

Dalam pada itu, lelaki bertopeng berkenaan, yang dipercayai oleh pihak berkuasa Indonesia sebagai Nordin Mat Top memberi amaran lebih banyak serangan akan dilancarkan ke atas negara-negara Barat terutamanya Australia.

Naib Presiden Indonesia, Yusoff Kalla yang dipetik oleh akhbar Kompas berkata, beliau yakin anggota militan bertopeng itu merupakan Nordin, operatif kanan Jemaah Islamiyah (JI) dan pengganas paling dikehendaki.

Nordin kini menjadi sasaran buruan pihak berkuasa Indonesia.

``Kami ulangi bahawa Amerika, Australia, England dan Itali adalah musuh,' kata anggota militan terbabit yang bertopeng hitam dan acap kali mengangkat jari kanannya.

``Kami memberi peringatan, khususnya Australia dan kamu, Downer dan Howard membunuh Australia, membawa kepada kegelapan dan kemelaratan dan keganasan,'' kata lelaki tersebut dengan merujuk kepada Perdana Menteri Australia, John Howard dan Menteri Luar, Alexander Downer.

``Ketahuilah selagi kamu (semua) terus menjajah bumi Iraq serta Afghanistan dan selagi menakut-nakutkan umat Islam kamu akan merasai ketakutan dan keganasan,'' katanya.

Militan itu juga memberi amaran kepada pihak yang menyokong tindak-tanduk Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush dan Perdana Menteri Britain, Tony Blair. - Reuters

Petikan: Utusan Malaysia 18 November 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home