Thursday, November 17, 2005

Senjata Fosforus Putih

Pentagon akui guna senjata fosforus putih

JASHINGTON 16 Nov. - Pentagon semalam mengakui bahawa tentera Amerika Syarikat (AS) menggunakan fosforus putih sebagai senjata untuk memusnahkan kubu-kubu gerila semasa pertempuran di Fallujah pada November tahun lalu.

AS bagaimanapun menafikan laporan sebuah stesen televisyen Itali bahawa bahan yang sangat mudah terbakar itu telah digunakan terhadap pendudukawam.

Jurucakap Pentagon, Leftenan Kolonel Barry Venable berkata, sungguhpun fosforus putih paling kerap digunakan untuk menandakan sasaran atau melindungi kedudukan, bahan kimia itu pernah digunakan di Fallujah sebagai senjata untuk membakar gerila anti-AS.

``Senjata itu tidak digunakan terhadap orang awam,'' kata Venable.

Jurucakap itu meminta wartawan merujuk kepada sebuah artikel dalam majalah rasmi tentera AS, Army's Field Artillery edisi Mac-April 2005.

Dalam artikel itu, veteran pertempuran di Fallujah menceritakan pengalaman mereka menggunakan fosforus putih dan senjata lain.

Menurut penulis artikel, bahan itu digunakan untuk memaksa gerila keluar dari kubu dan tempat persembunyian mereka sebelum dihapuskan dengan bahan letupan berkekuatan tinggi.

Pertempuran untuk menguasai Fallujah adalah yang paling sengit dan berdarah dalam perang di Iraq berikutan kejatuhan Baghdad pada April 2003.

Bandar yang terletak kira-kira 60 kilometer ke Baghdad itu merupakan kubu kuat gerila.

Penulis artikel terbabit mendakwa mereka tidak menemui ramai penduduk awam di kawasan operasi.

Televisyen RAI24 Itali minggu lepas menyiarkan dokumentari yang mendakwa tentera AS menggunakan senjata fosforus putih secara besar-besaran dan sembarangan terhadap penduduk awam semasa operasi di Fallujah. - AP

Petikan: Utusan Malaysia 17 November 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home