Tuesday, November 15, 2005

Azhari Syahid?


Rakan `cemburu' Azhari mati lebih awal

CILACAP 12 Nov. - Rakan-rakan Dr. Azhari Husin dalam Jemaah Islamiah (JI) di penjara Nusakembangan, `cemburu' dengan kematian rakyat Malaysia yang paling dikehendaki itu kerana `syahid' lebih awal.

``Saya iri hati Azhari meninggal dunia lebih dulu. Kalau memang benar yang meninggal dunia itu Azhari, dia mati syahid lebih dulu daripada saya.

``Saya yang sudah dijatuhi hukuman mati belum dihukum, tetapi dia sudah syahid dulu,'' kata Amrozi kepada wartawan Jawa Pos semalam.

Wartawan itu berjaya menyusup masuk ke penjara Nusakembangan mengikut keluarga para banduan sempena sambutan Aidilfitri.

Ditanya, Amrozi mengaku dia sudah mengetahui berita kematian Azhari tanpa menjelaskan lebih lanjut bagaimana maklumat mengenainya diperoleh.

Bagaimanapun dia masih tidak yakin seratus-peratus Azhari telah mati kerana baginya, lelaki itu licik dan mampu memboloskan diri.

Ditanya apakah kematian Azhari akan mampu menghentikan keganasan, Amrozi menegaskan:

``Selagi Amerika dan sekutunya bertindak zalim terhadap orang Islam, (bom) tidak akan pernah berhenti (meletup),'' katanya.

Imam Samudra yang berasal dari Serang, Banten menyatakan, Azhari syahid jika dia memang terbunuh dalam serbuan polis elit Indonesia di Kota Batu, Malang.

``Kalau memang dia sudah meninggal, dia yang lebih syahid dulu. Dia lebih dahulu bertemu bidadari-bidadari cantik di sana (syurga).

``Namun tidak mengapa, saya juga akan menyusul syahid,'' tegasnya.

Namun Imam Samudra turut menyatakan kesangsiannya mengenai kematian Azhari sambil menjelaskan bahawa dia khuatir ia hanya rekaan pihak polis untuk mendapat kenaikan pangkat.

``Kalau memang betul Azhari, perlu didedahkan secara terbuka bersama dengan bukti-buktinya,'' katanya lagi.

Dia mengatakan, kematian Azhari tidak bermakna akan berhenti serangan bom kerana akan muncul lebih ramai pengganti lelaki itu bagi membalas kekejaman AS.

``Tidak akan berakhir bom-bom ini. Semangat Azhari belum mati kerana nanti akan hadir pengganti yang akan membela umat Islam yang tertindas,'' ujarnya. - Agensi

Petikan: Utusan Malaysia 13 November 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home