Thursday, November 24, 2005

Sekat! Buku Imam Samudera. Kenapa?

Ulama desak sekat buku Imam Samudra, Amrozi

JAKARTA: Kerajaan Indonesia diminta menyekat pengedaran buku yang memaparkan pandangan radikal tulisan Imam Samudra dan Amrozi, dua daripada tiga pengebom yang dihukum mati dalam kes pengeboman Bali pada 2002, kata Hasyim Muzadi, pengerusi pertubuhan Islam terbesar Indonesia, Nahdlatul Ulama (NU) kelmarin.

Agensi Berita Indonesia, Antara memetik beliau sebagai berkata kelmarin, di samping menyekat penyebaran buku terbabit, kumpulan Islam seperti Majlis Ulama Indonesia (MUI) dan NU serta gerakan Islam kedua terbesar Muhammadiyah perlu menghasilkan buku bagi memerangi buku karangan Imam dan Amrozi.

Buku tulisan dua pengebom Bali itu tidak menerangkan erti jihad dengan betul serta menjadikan Islam sebagai alat kepentingan mereka dan bukan panduan hidup serta sumber pengetahuan, agensi berita Indonesia itu memetik Hasyim sebagai berkata.

Menurutnya makna sebenar jihad ialah berjuang secara meluas bagi memperbaiki kebajikan rakyat, mewujudkan prasarana pendidikan, melindungi orang ramai dan berbuat baik kepada orang lain. “Buku Imam dan Amrozi yang melihat jihad hanya dalam bentuk perang adalah tidak betul. Oleh itu tindakan mereka juga salah,” katanya.

Hasyim berkata sasaran pengganas adalah Amerika tetapi rakyat Indonesia juga turut terbunuh seperti dalam kes serangan bom Bali, Hotel JW Marriott dan kedutaan Australia di Jakarta, jelasnya.

Dalam ajaran Islam, katanya, seseorang tidak dibolehkan membunuh orang lain kecuali dalam peperangan seperti di negara Asia Barat untuk rakyat menentang kezaliman Amerika dengan menggunakan lambang agama. “Bagaimanapun perang menggunakan simbol agama tidak relevan jika dilaksanakan di Indonesia yang tidak mengalami perang,” katanya.

Hasyim juga mengkritik penyebaran salinan video cakera padat (VCD) pengganas sebelum mereka terbabit dalam serangan bom kedua Bali pada 1 Oktober lalu. “Filem itu tidak sepatutnya diedarkan kepada umum kerana ia akan menggalakkan belia mengikuti idea pengganas.” – Agensi

Petikan: Berita Harian 24 November 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home