Wednesday, November 23, 2005

Penganas No. 1 Nak Bom Al-Jazeera

Bush rancang bom al-Jazeera

LONDON: Presiden George W Bush merancang mengebom stesen penyiaran al-Jazeera, lapor akhbar Britain, Daily Mirror semalam yang memetik memo Downing Street yang tertera perkataan ‘Sulit.’

Transkrip perbualan di antara Bush dan Perdana Menteri Britain, Tony Blair, setebal lima muka surat itu mendedahkan Blair bercakap mengenai pelan Bush mengenakan tindakan ketenteraan ke atas stesen itu di Qatar, kata sumber tidak dinamakan kepada akhbar yang menentang Perang Iraq.

Transkrip percakapan kedua-dua pemimpin ketika Blair melawat Washington pada 16 April lalu menunjukkan Bush mahu menyerang ibu pejabat stesen itu di Doha.

Blair didakwa bimbang serangan seumpama itu akan mencetuskan serangan balas.

Akhbar Daily Mirror memetik pegawai Britain tidak dinamakan sebagai berkata, ancaman Bush ‘sekadar jenaka, bukan sesuatu serius.’

Perspektif al-Jazeera mengenai serangan ke atas Iraq mengundang kritikan daripada Washington sejak pencerobohan terhadap negara itu pada Mac 2003.

Ia juga menyiarkan mesej daripada Osama bin Laden dan pembunuh tebusan Barat yang dipenggal kepala oleh kumpulan penentang di Iraq selain rakaman anggota tentera pakatan penceroboh yang mati serta penduduk awam yang maut dalam pertempuran.

Sumber memberitahu Daily Mirror: “Memo itu satu tamparan hebat kepada Bush. Dia bersungguh-sungguh mahu mengebom al-Jazeera di Qatar dan di tempat lain. Blair pula menjawab, ia akan menyebabkan masalah besar.

“Tidak ragu-ragu lagi Bush mahu melakukannya dan tidak ragu lagi Blair tidak mahu dia melakukannya.”

Satu lagi sumber lain berkata: “Bush amat serius, begitu juga Blair. Ia sesungguhnya amat jelas berbanding bahasa yang digunakan kedua-duanya.”

Akhbar berkenaan menyebut, memo berkenaan tiba pada Mei 2004 di pejabat ahli perundangan Britain ketika itu, Tony Clarke, yang juga anggota Parti Buruh pimpinan Blair.

Seorang kakitangan kerajaan, David Keogh, 49, dituduh menurut Akta Rahsia Rasmi kerana menyerahkannya kepada bekas penyelidik Clarke, Leo O’Connor, 42.

Kedua-duanya diikat jamin untuk muncul di Mahkamah Majistret Bow Street di tengah London, minggu depan. – AFP

Petikan: Berita Harian 23 November 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home