Tuesday, December 06, 2005

Bukti Amerika - Bapak Teroris!

Penduduk pamer bukti tentera AS bom rumah

HAISORI (Pakistan): Penduduk pribumi Pakistan semalam mempamerkan serpihan peluru berpandu yang jelas tentera petunjuk ia dimiliki tentera Amerika Syarikat ketika mendakwa ia meletup di sebuah rumah dan mengorbankan dua budak lelaki.

Keterangan penduduk itu juga mungkin menjelaskan mengenai letupan di kawasan itu sebelum ini yang didakwa kerajaan Pakistan mengorbankan seorang pemerintah kanan al-Qaeda.

Walau apa jua punca letupan, kematian Abu Hamza Rabia dianggap kejayaan besar bagi Pakistan dan Amerika Syarikat yang sebelum ini menyifatkan beliau sebagai ketua operasi antarabangsa al-Qaeda.

Bagaimanapun, mayatnya belum ditemui.

Seorang penduduk Waziristan Utara, Mohammad Siddiq memberitahu pemberita anak lelaki 17 tahunnya dan seorang lagi anak saudaranya berusia lapan tahun terbunuh dalam serangan peluru berpandu itu, tetapi menafikan ada militan di kawasan terbabit.

“Saya tidak tahu menahu mengenai mereka. Tiada seorang pun orang asing dalam rumah saya. Saya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan orang asing atau al-Qaeda.

“Kami sedang tidur apabila mendengar dua letupan di ruang tamu rumah. Kemudian saya lihat anak saya, Abdul Wasit dan anak saudara Noor Aziz, meninggal dunia,” katanya ketika menerima ucapan takziah daripada keluarga dan jiran.

Di Washington, penasihat keselamatan Amerika, Stephen Hadley berkata, beliau tidak dapat mengesahkan kematian Rabia.

Beliau juga enggan mendedahkan pembabitan Amerika dalam serangan itu dan Pakistan pula menafikan kapal terbang pengintip tanpa juruterbang melancarkan serangan peluru berpandu di buminya.

Bagaimanapun, Haisori menunjukkan serpihan peluru berpandu yang jelas tertera lambang Amerika didakwa meletup di rumahnya pada Khamis lalu.

Sabtu lalu, Presiden Pakistan, Jeneral Pervez Musharraf menyatakan, beliau 200 peratus percaya Rabia sudah terkorban.

Bagaimanapun, kematian Rabia itu berdasarkan laporan perisikan dan mesej berjaya dipintas, kata sumber perisikan dan pasukan keselamatan masih mencari mayatnya. – Agensi

Berita Harian: 6 Disember 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home