Thursday, December 29, 2005

Balas dendam untuk Azahari

JADI TARIKAN: Pelancong meninjau rumah di Kota Batu, Jawa Timur yang menjadi tempat persembunyian Azahari Husin sebelum pengganas itu ditembak mati. Pengusaha menjual baju T bergambar Dr Azahari berhampiran rumah berkenaan. - AFP

Kematian pakar bom itu mungkin cetuskan dorongan untuk menyerang Susilo

JAKARTA: Kematian pakar bom rakyat Malaysia, Dr Azahari Husin, yang dibunuh polis Indonesia mungkin mencetuskan serangan balas dendam terhadap presiden atau pegawai atasan negara lain, kata ketua perisik Indonesia semalam.

Syamsir Siregar, ketua agensi perisikan Indonesia, berkata sebelum kematiannya, Azahari dan seorang rakan yang juga warga Malaysia, Noordin Mohammad Top - yang masih bebas - sempat merekrut ramai militan terlatih.

“Mereka mampu melakukan tugas mereka tanpa diarahkan oleh kedua-duanya,” kata Syamsir kepada wartawan.

Kematian Azahari mungkin mendorong mereka untuk melancarkan serangan baru, katanya.

“Ia sesuatu yang mungkin berlaku kerana mereka masih tidak dapat menerima hakikat ketua mereka sudah meninggal dunia,” katanya apabila ditanya sama ada kematian Azahari mungkin mencetuskan dorongan untuk menyerang Presiden Susilo Bambang Yudhoyono atau pegawai lain.

Susilo kelmarin mengesahkan keselamatannya diancam, berdasarkan maklumat yang diberikan oleh agensi perisikan. Pegawai, bagaimanapun tidak memperincikan sama ada sebarang ancaman tertentu sudah dibuat.

Polis dan tentera negara paling ramai umat Islam di dunia itu berada dalam keadaan berjaga-jaga menjelang Krismas lalu dan sambutan Tahun Baru berhubung kebimbangan mengenai serangan balas dendam berikutan kematian Azahari bulan lalu di tempat persembunyiannya di Jawa Timur.

Azahari dan Noordin ialah anggota atasan rangkaian Jemaah Islamiah (JI) yang dipersalahkan berhubung pengeboman Bali pada 2002 sehingga menyebabkan 202 maut serta beberapa siri serangan bom lain di Indonesia. –AFP

FAKTA
200 - Jumlah pelancong Malaysia yang sudah melawat rumah Azahari
10,000 rupiah - Harga satu set gambar kejadian yang dijual pengusaha

Petikan: Berita Harian 29 Disember 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home