Aku Melawan Teroris

Thursday, November 09, 2006

Siapakah Sebenarnya Pengganas?

Abu Bakar cabar Bush berdialog

JAKARTA 8 Nov. – Ulama terkemuka Indonesia, Abu Bakar Bashir mencabar Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush untuk mengadakan perbincangan dengan beliau berhubung isu keganasan semasa lawatannya ke Indonesia bulan ini.

“Ustaz mencabar Bush. Jika beliau serius dan benar-benar seorang lelaki sejati, beliau harus menjemput ustaz untuk berdialog,” kata jurucakap bagi Majlis Mujahidin Indonesia (MMI), Fauzan Al-Ansori kepada AFP.

Menurut beliau, pertubuhannya tidak mempunyai rancangan untuk menghubungi Kedutaan AS atau kerajaan di sana bagi mengendalikan perbincangan yang dicadangkan itu.

“Kami telah mempunyai pengalaman pahit sebelum ini apabila ustaz mahu bertemu dengan Condolleeza Rice (Setiausaha Negara AS) dan hanya ditunjukkan pintu sahaja,” jelas Fauzan.

Tambah beliau, jemputan untuk mengadakan rundingan itu seharusnya datang daripada Bush sendiri kerana beliau satu-satunya yang melabelkan Abu Bakar sebagai seorang pengganas.

“Apa yang ingin ustaz Abu Bakar mahu bincangkan dengan Bush adalah, siapakah sebenarnya pengganas, dan siapakah yang sebenarnya tidak mahu keamanan di dunia,” kata Fauzan.

Abu Bakar adalah pengerusi MMI, pertubuhan yang menjadi payung bagi menyokong pelaksanaan undang-undang Syariah Islam, telah menuduh Bush sebagai pengganas. – AFP

UM 9.11.2006

Monday, November 06, 2006

Saddam dihukum mati

Saddam dihukum mati -- Didapati bersalah lakukan pembunuhan 148 penduduk Syiah pada 1982

BAGHDAD 5 Nov. – Bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Tribunal Tinggi Iraq hari ini kerana didapati bersalah atas tuduhan melakukan jenayah terhadap kemanusiaan di negara itu.

Bekas ketua perisikan Iraq, Barzan Ibrahim Al-Tikriti yang juga adik tiri lelaki Saddam (berlainan ibu) serta bekas Hakim Mahkamah Revolusi Iraq, Awad Hamed Al-Bander turut menerima hukuman mati.

Selepas hukuman dibacakan, Saddam, 69, yang kelihatan menggeletar berteriak: “Hidup Iraq! Hidup rakyat Iraq! Allah lebih besar daripada penceroboh!”

Beliau pada mulanya enggan berdiri atas arahan Ketua Hakim, Raouf Abdul-Rahman tetapi dua pegawai mahkamah memaksa Saddam bangun dan beliau terpaksa berdiri sepanjang keputusan dibacakan.

Hukuman mati ke atas Saddam itu akan dikaji semula secara automatik oleh sebuah panel rayuan.

Sekiranya panel hakim rayuan mendapati ada sebab untuk mempertikaikan hukuman itu, Saddam akan dibicarakan semula.

Jika tidak, hukuman yang dijatuhkan hari ini akan dilaksanakan dalam tempoh 30 hari.

Bekas Naib Presiden, Taha Yassin Ramadan pula dikenakan hukuman penjara seumur hidup manakala bekas pegawai Parti Baath, Mohammed Azawi Ali didapati tidak bersalah dan dibebaskan serta-merta kerana ketiadaan bukti.

Tiga pegawai Baath lain, Ali Dayih Ali, Abdullah Kazim Ruwayyid dan anaknya Mizhar Abdullah Ruwayyid dijatuhi hukuman penjara 15 tahun kerana melakukan penyeksaan dan pembunuhan dengan niat.

Selepas 45 minit membacakan hukuman-hukuman itu, Raouf menamatkan prosiding tersebut.

Sebelum perbicaraan bermula, Ketua Hakim itu telah mengusir salah seorang peguam bela Saddam, bekas Peguam Negara AS, Ramsey Clark dari mahkamah.

Clark telah menyerahkan satu memorandum kepada hakim dengan menyifatkan perbicaraan Saddam sebagai satu ‘persendaan’.

Raouf menuding jari ke arah Clark dan berkata dalam bahasa Inggeris: “Awak keluar.”

Hukuman mati ke atas Saddam itu menandakan satu titik peralihan politik yang dikhuatiri boleh mencetuskan semula pertumpahan darah di kalangan rakyat Iraq.

Malah sejurus selepas keputusan diumumkan pertempuran meletus di daerah majoriti Sunah di Azamiyah, utara Baghdad antara polis dengan kumpulan bersenjata automatik.

Saddam dan tujuh defendan lain dibicarakan oleh tribunal yang disokong Amerika Syarikat (AS) berhubung pembunuhan 148 penduduk kampung Syiah di Dujail sebagai membalas dendam terhadap percubaan membunuh bekas Presiden itu pada 1982.

Sebanyak 108 saksi dipanggil dalam perbicaraan itu termasuk 56 orang saksi pembela.

Saddam juga menjalani perbicaraan lain sejak 21 Ogos lalu atas tuduhan mengarahkan Kempen Anfal di kawasan Kurdis di utara Iraq pada 1987 dan 1988 yang menyebabkan kematian lebih 180,000 orang.

Pendakwa raya awam, Jaafar al-Mussawi berkata, dalam konteks perbicaraan lain itu, tribunal hanya akan mengadili defendan yang masih hidup, manakala kes terhadap mereka yang sudah menjalani hukuman mati akan digugurkan.

Penduduk Syiah dan Sunah seperti dijangka memberikan reaksi berbeza terhadap hukuman mati ke atas Saddam.

Tembakan dilepaskan di Bandar Sadr, kawasan Syiah di Baghdad, sebagai mengalu-alukan hukuman tersebut dan penduduk meraikannya di jalan raya sambil menjerit: “Di mana kamu Saddam? Kami mahu mengerjakan kamu.”

Bagaimanapun, di bandar kelahiran Saddam, Tikrit, 1,000 penduduk tidak mempedulikan perintah berkurung dan berarak di jalan raya dengan membawa gambar bekas Presiden itu.

Saddam memerintah Iraq mulai 16 Julai 1979 dan berjaya mengekalkan pemerintahannya selama 24 tahun sehinggalah rejim beliau dijatuhkan pada 9 April 2003 apabila tentera AS menceroboh Iraq dan menawan Baghdad.

AS menyerang Iraq selepas rejim Saddam dikatakan memiliki senjata pemusnah besar-besaran tetapi tiada bukti ditemui untuk menguatkan dakwaan tersebut.

– Agensi

UM 6.11.2006