Friday, August 11, 2006

PULO

Bangkok sasaran baru -- PULO rancang perluas pemberontakan selatan Thailand

BANGKOK 10 Ogos – Kumpulan militan yang berjuang bagi kemerdekaan di wilayah selatan yang penduduknya majoriti Islam tidak menolak kemungkinan memperluaskan pemberontakan ke ibu negara Bangkok dan pusat pelancongan Phuket.

Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (PULO) memberitahu akhbar The Nation bahawa langkah itu mungkin diambil sekiranya kerajaan meneruskan taktik penindasan terhadap penduduk setempat yang kebanyakannya bercakap bahasa Melayu.

Ketua Hal Ehwal Luar PULO, Kasturi Mahkuta memberitahu akhbar itu dari lokasi rahsia di Sweden bahawa ia bukan sesuatu yang mustahil bahawa mana-mana “kumpulan pembebasan Melayu” akan berfikir mahu menyerang sasaran di luar wilayah itu.

Kasturi berkata, PULO mempunyai jumlah pegawai dan pasukan bersenjata yang agak signifikan di selatan Thailand tetapi enggan memberikan butiran lanjut atau mengaku bertanggungjawab bagi mana-mana serangan di wilayah itu.

“Ini adalah sesuatu yang kami tidak akan sahkan atau nafikan. Saya tidak boleh nyatakan secara spesifik,” kata Kasturi semasa ditanya serangan atau kejadian besar-besaran yang melibatkan PULO.

PULO muncul pada 1970-an semasa perjuangan tentera oleh etnik Melayu di wilayah paling selatan Yala, Pattani dan Narathiwat yang menuntut kemerdekaan daripada Thailand.

Keamanan dipulihkan pada dekad lepas tetapi lebih 1,300 orang terbunuh sejak puak pemisah melancarkan kempen pengeboman dan tembakan pada Januari 2004.

Namun di sebalik semua itu, Kasturi memberitahu akhbar itu bahawa PULO bersedia mengadakan perbincangan dengan kerajaan untuk membincangkan “penyelesaian.”

Beliau berkata, pucuk pimpinan PULO bimbang dengan keganasan di wilayah itu dan jumlah kematian yang tinggi, dan menurutnya terdapat kecenderungan untuk menyalahkan kumpulan pembebasan Melayu yang melakukan semua serangan itu.

Agensi-agensi keselamatan menyatakan beberapa kumpulan baru antiBangkok telah muncul di selatan dan sebahagian besarnya dipersalahkan bagi keganasan itu. – Bernama

UM 11.8.2006

0 Comments:

Post a Comment

<< Home