Friday, August 11, 2006

Kos Israel serang Lebanon RM6 bilion

BAITULMAQDIS 10 Ogos – Pencerobohan tentera Israel ke atas Lebanon kononnya untuk memerangi pejuang Hizbullah dalam tempoh sebulan yang lalu menyebabkan negara Yahudi itu menanggung kos sebanyak RM5.92 bilion (AS$1.6 bilion).

Menteri Kewangan Israel, Avraham Hirshson berkata, beliau akan meminta kerajaan memotong RM2.4 bilion daripada perbelanjaan negara tahun ini bagi menampung perbelanjaan perang.

Bajet tahunan Israel bagi tahun 2006 adalah RM207 bilion (AS$56 bilion).

Cadangan tersebut akan dibentangkan di Kabinet dan diluluskan Ahad ini.

Ketika mengumumkan rancangan pemotongan belanjawan itu, Hirchson berkata, ia tidak membabitkan kenaikan cukai dan peruntukan diambil daripada kementerian-kementerian.

“Semua kementerian diminta menunjukkan tanggungjawab kepada negara dan menanggung beban peperangan,” ujarnya.

Dalam pada itu, tentera Israel yang meneruskan serangan buat hari ke-30 hari ini, menawan bandar-bandar Kristian, Marjayoun dan Qlaiah di selatan Lebanon sekalipun rejim Yahudi itu mengumumkan telah menangguhkan rancangan untuk melancarkan serangan lebih hebat terhadap pejuang Hizbullah.

Askar Israel telah mara dengan berjalan kaki ke Marjayoun, kira-kira lapan kilometer dari sempadan serta Qlaiah dan kampung berhampiran, Burj Al-Molouk.

Mereka disusuli oleh kereta-kereta kebal yang bergerak di jalan raya berdekatan sambil menghadapi bedilan sengit roket dan peluru meriam Hizbullah.

“Saya dapat melihat dua kereta kebal terbakar kira-kira 500 meter dari Marjayoun,” kata seorang penduduk menerusi telefon. – Agensi

UM 11.8.2006

0 Comments:

Post a Comment

<< Home