Monday, July 24, 2006

Pelampau Israel

Israel bom rumah, masjid

BEIRUT: Seorang pegawai kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam berkata, Israel melanggar undang-undang kemanusiaan kerana mengebom kawasan perumahan di Beirut yang turut menempatkan ibu pejabat Hizbullah.


“Ia amat menakutkan. Saya tidak sedar yang kena bom (bukan satu bangunan) tetapi beberapa blok bangunan yang mengandungi kediaman,” Jan Egeland, penyelaras bantuan kecemasan PBB, memberitahu wartawan selepas melawat daerah Haret Hreik yang teruk musnah dibedil Israel.

Ia adalah satu pencabulan undang-undang kemanusiaan. Kemusnahan yang dialami adalah lebih besar daripada apa yang saya bayangkan,” kata Egeland.

Pesawat Israel mengugurkan bom ke atas kawasan itu hampir setiap malam sejak memulakan serangan terhadap Lubnan pada 12 Julai lalu. Kali terakhir kawasan itu dibedil ialah pagi semalam, kata penduduk yang masih belum meninggalkan daerah selatan Beirut itu.

Laporan mengatakan, Israel turut mengebom sebuah bangunan tiga tingkat yang turut menempatkan masjid di Beirut. Tentera Yahudi juga mengebom kilang, jalan raya dan jambatan di Baalbek menyebabkan seorang terbunuh, semalam.

Egeland berkata, 500,000 hingga satu juta orang memerlukan bantuan antarabangsa di Lubnan, tetapi menghantar bantuan memerlukan laluan selamat. “Setakat ini, Israel tidak memberi kami laluan selamat,” katanya.

Egeland bercadang mengunjungi Israel esok untuk merundingkan laluan selamat bagi penghantaran bantuan antarabangsa. Beliau menganggarkan, kira-kira AS$100 juta (RM360 juta) diperlukan sebagai bantuan kecemasan bagi mengelak berlakunya krisis kemanusiaan.

Serangan Israel terhadap Lubnan setakat ini membunuh 372 orang di Lubnan, kebanyakannya orang awam.

Sementara itu di HAIFA, lebih 12 roket Hizbullah disasarkan ke bandar utara Israel itu, dengan dua terbunuh dan 15 cedera.

Beberapa roket mengenai dua pangsapuri, sebuah rumah, kawasan industri dan beberapa kenderaan.

Seorang lelaki terbunuh ketika memandu keretanya, manakala seorang lagi terbunuh ketika berada dalam sebuah bangunan.

Serangan roket ke atas Haifa berlaku pada masa sama Menteri Luar Perancis, Philippe Douste-Blazy dan Menteri di Pejabat Luar Britain, Kim Howells melawat bandar itu dalam usaha mencari penyelesaian krisis.

Pegawai dari beberapa negara Kesatuan Eropah turut melawat Israel dan Lubnan bagi mencari persetujuan untuk memulakan gencatan senjata.

Namun, di Washington, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Condoleezza Rice, sebelum berlepas ke Asia Barat berkata, negaranya sedang berusaha untuk mencari penyelesaian yang berkekalan di Lubnan dan bukannya gencatan senjata. – Reuters/AFP

BH 24.07.2006

0 Comments:

Post a Comment

<< Home