Monday, July 03, 2006

Wajah Hodoh AS

Puak Sunah kecam askar AS rogol gadis Iraq

BAGHDAD 2 Julai - Sebuah pertubuhan Sunah yang berpengaruh hari ini mengecam sekeras-kerasnya perbuatan sekumpulan askar Amerika Syarikat (AS) yang merogol seorang gadis Iraq sebelum membunuh mangsa itu dan keluarganya pada Mac lalu.

Persatuan Cendekiawan Islam berkata, perbuatan askar-askar AS itu mendedahkan “wajah hodoh AS yang sebenar.”

“Tindakan askar-askar AS yang merogol kemudian memotong mayat gadis itu sungguh memalukan dan akan terus kekal sebagai tanda yang memalukan bagi penceroboh-penceroboh,” katanya.

Para penyiasat AS percaya askar-askar terbabit telah merancang hampir seminggu mengenai serangan ke atas seorang gadis Iraq sebelum membunuh mangsa itu dan tiga ahli keluarganya di sebuah kawasan kira-kira 32 kilometer ke selatan Baghdad.

Seorang pegawai AS berkata, lima askar AS menceroboh masuk ke dalam rumah gadis itu.

Mangsa kemudiannya dipisahkan daripada tiga ahli keluarganya sebelum dirogol dan dibunuh dan mayatnya yang dikerat-kerat dibakar.

Seorang lagi pegawai AS berkata, tiga ahli keluarga gadis itu, termasuk seorang kanak-kanak, turut dibunuh.

“Kami mengecam sekeras-kerasnya jenayah yang sungguh hina ini. Tingkah laku yang diperlihatkan oleh tentera penceroboh ini dan perbuatan mereka menunjukkan wajah hodoh Amerika yang sebenar,’’ kata persatuan itu dalam satu kenyataan.

“Jenayah itu juga mendedahkan perisytiharan pihak penceroboh tentang kemanusiaan dan pembebasan adalah palsu.

“Kami menyeru seluruh dunia dan semua pertubuhan kemanusiaan menjadi saksi jenayah hina ini dan bertindak terhadap pencabulan Amerika yang melampau ini,’’ kata persatuan itu yang menentang keras kehadiran tentera Amerika di Iraq. – AP

UM - 03.07.2006

0 Comments:

Post a Comment

<< Home