Tuesday, May 23, 2006

Komplot Amerika, Israel

WASHINGTON/BAITULMAQDIS: Empat bank Eropah akur kepada ugutan Amerika Syarikat supaya mengurangkan urusan dengan Iran meskipun Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) belum mengeluarkan resolusi mengenakan sekatan ekonomi terhadap Teheran atas isu nuklear.

Pada masa sama, sekumpulan ahli perundangan Israel termasuk bekas diplomatnya merancang untuk menyaman Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad, atas dakwaan beliau mahu melakukan pembunuhan beramai-ramai.
Tekanan ke atas Iran disebabkan tuduhan bahawa negara Teluk itu mahu membina bom nuklear dan program nuklearnya bukan untuk membantu keperluan tenaganya.
Tetapi, ada pemerhati menganggap tekanan oleh Amerika itu tidak akan memberi kesan besar. “Saya tidak nampak tindakan bank Eropah itu membawa masalah besar. Iran meraih AS$300 juta (RM2 bilion) sehari daripada perolehan minyak. Teheran tidak akan terjejas.”
Empat bank itu termasuk UBS dan Credit Suisse dari Switzerland, ABN Amro dari Belanda dan HSBC di London.
UBS memberitahu, ia tidak lagi akan berurusan dengan mana-mana individu, syarikat atau bank Iran termasuk membiayai eksport dan import pelanggan korporat di Iran.
ABN Amro pula menyatakan, ia akan meminimumkan aktivitinya di Iran.
“Kami tidak ada wakil di Iran,” kata Sierk Nawijn, jurucakap ABN Amro di Amsterdam. Katanya, meskipun bank itu melakukan urusan berasaskan dolar, aktivitinya terhadap kepada kadar tertentu saja.
Georg Söntgerath, jurucakap Credit Suisse di Zurich, berkata: “Mulai Januari lalu, kami sudah kata tidak akan terbabit dalam perniagaan baru dengan pelanggan di Iran.”
Amerika mengenal pasti enam entiti Iran sebagai sasaran larangan berurusan bank di negara itu termasuk Institut Aeroangkasa Industri, Agensi Atom Iran dan beberapa firma milik orang perseorangan di Iran.
Sementara itu, beberapa ahli perundangan dan bekas diplomat Israel merancang menyaman pemimpin Iran, Ahmadinejad, yang mencetuskan kontroversi apabila berkata Israel perlu dihapuskan dari peta dan menyifatkan Holocaust sebagai satu mitos.
Bekas duta Israel ke PBB, Dore Gold, berkata kenyataan Ahmadinejad melanggar Konvensyen Geneva yang turut ditandatangani Teheran.
“Tidak syak lagi Ahmadinejad melanggar konvensyen pembunuhan beramai-ramai yang terutama dalam isu hasutan,” kata Gold.
Akhbar Israel, Yediot Ahronot, melaporkan saman itu akan difailkan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa di The Hague, Belanda.
Turut mengemukakan saman itu ialah bekas menteri Kabinet Israel, Danny Naveh dan bekas duta Israel ke Amerika Syarikat dan Perancis, Meir Rosen.
Kumpulan itu berkata, pasukan perundangan sedang mencari tempat terbaik dan saman itu akan difailkan beberapa bulan lagi.
Penduduk Palestin sebelum ini pernah memfailkan saman terhadap pemimpin dan jeneral Israel termasuk bekas Perdana Menteri rejim itu, Ariel Sharon, menuduh mereka melakukan jenayah perang.
Tiada satu pun saman itu berakhir dengan sabitan sesiapa malah satu saman terhadap Sharon yang difailkan di mahkamah Belgium, digugurkan. – AP/Agensi
BH 23 Mei 2006

0 Comments:

Post a Comment

<< Home