Tuesday, August 01, 2006

28 mayat ditemui di Qana

Pasukan penyelamat terus cari mangsa bawah runtuhan akibat serangan Zionis

QANA (LUBNAN): Perkampungan Qana di selatan Lubnan, diselubungi suasana berkabung semalam ketika pasukan penyelamat menngeluarkan 28 lagi mayat di bawah runtuhan bangunan yang musnah akibat serangan udara Israel kelmarin yang membunuh 56 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak yang sedang tidur.

Sumber Palang Merah Lubnan berkata, 12 mayat ditemui di perkampungan Sreefa, sembilan lagi di Zibqeen dan empat di Qleileh, kesemuanya di Qana yang terletak di timur bandar pelabuhan Tyre.

Tiga mayat lagi ditemui di tiga lagi perkampungan. Penyelamat meneruskan usaha mencari berpuluh-puluh lagi mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan bangunan di beberapa bandar dan perkampungan di Lubnan sejak diserang Israel pada 12 Julai lalu.

Anggota bantuan ketika ini terus mengumpulkan barangan peribadi, beg dan pakaian milik mangsa, 37 daripada mereka adalah kanak-kanak, di luar runtuhan bangunan yang berdebu, mengingatkan dunia bahawa si kecil juga jadi sasaran Israel.

"Kita akan terus mencari mayat di bawah runtuhan kerana keluarga mangsa berkata ramai lagi anak-anak masih hilang," kata Salam Daher, ketua pertahanan awam di Qana.

Dunia mengecam serangan udara Israel itu yang mensasarkan bangunan tiga tingkat di daerah itu yang menempatkan wanita dan kanak-kanak kecil yang berlindung di bawah satu bumbung.

Walaupun baru melangkah masuk perkampungan yang sebelum pertempuran mempunyai 15,000 penduduk itu, pelawat boleh melihat kemusnahan akibat serangan tentera Israel.

Cermin rumah kedai berkecai manakala kediaman yang masih berdiri sudah kosong dan sisa runtuhan bangunan bertaburan di tengah jalan.

Ini adalah kali kedua Qana yang berhampiran bandar Tyre, diserang Israel. Pada 18 April 1996, markas pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dibom membunuh 105 orang yang berlindung di situ ketika Israel melancarkan operasi "Grapes of Wrath."

Hussein Sleiman, 35, mengambil kesempatan janji Israel untuk memberhentikan serangan udara selama 48 jam mulai semalam untuk kembali ke Qana untuk melihat sama ada rumahnya masih wujud.

"Rumah saya masih berdiri teguh tetapi kedai saya musnah", katanya. Seorang lelaki yang membawa keluarganya dalam kereta berkata: "Kami lari ke Beirut walaupun terpaksa tidur di tengah jalan di sana."

Di depan sebuah kedai, seorang lelaki buta berkata: "Saya mahu mati di sini, ini tanah air kami. Saya mahu mati bersama isteri dan tiga anak kami."

Seorang lagi penduduk bernama Hanifeh berkata beliau tidak tahu mana lagi mahu lari. Ke mana anda mahu saya pergi "Beirut" Di mana saya mahu tidur di sana, di dalam sekolah, dalam taman atau di tepi jalan. AFP

BH 1.08.2006

0 Comments:

Post a Comment

<< Home