Thursday, July 27, 2006

Bakar Bendera Israel & AS

Pemuda UMNO Perak bakar bendera Israel, AS

IPOH 26 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO Perak hari ini membakar bendera Israel dan Amerika Syarikat (AS) sebagai tanda bantahan terhadap penindasan ke atas rakyat Palestin dan Lebanon.

Sambil menyifatkan Israel dan AS sebagai musuh nombor satu dunia, lebih 150 pemimpin Pergerakan Pemuda UMNO dari 24 bahagian melakukan tindakan itu di pekarangan Dataran Bangunan UMNO Perak di sini.

Ketua Pemuda UMNO negeri, Zainol Fadzi Paharuddin yang mengetuai acara membakar bendera beramai-ramai itu turut melaungkan kata-kata ‘Jahanam Israel dan jahanam Amerika’ sebagai tanda protes.

Mereka mendesak AS dan sekutunya supaya tidak menggunakan kuasa veto yang berat sebelah dalam menyelesaikan konflik di Gaza dan Tebing Barat dengan mendesak Israel meninggalkan kawasan yang dicerobohi.

Di samping itu, mereka juga menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya tidak hanya berdiam diri, sebaliknya menghantar pasukan pengaman ke Tebing Barat serta-merta dan meneruskan usaha gencatan senjata.

Menurut Zainol Fadzi, Pergerakan Pemuda UMNO negeri juga mahukan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan ASEAN menyuarakan penentangan terhadap kezaliman Israel.

“Kami mahukan ketiga-tiga pertubuhan ini yang dipengerusikan oleh Malaysia bersatu mendesak Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Condoleezza Rice yang akan hadir ke Persidangan ASEAN di Kuala Lumpur mempengaruhi Israel menghentikan kekejamannya.

UM 27.07.2006

0 Comments:

Post a Comment

<< Home