Tuesday, August 15, 2006

Ingin Ke Palestin?

oleh : Maszlee Malik

Di antara sms, emel dan juga YM yang sering saya terima ialah "Bagaimana saya boleh pergi ke Palestin untuk berjihad?". Bukan seorang dua, malah puluhan, jika tidak ratusan. Bukan hanya dari kalangan lelaki, malah juga dari wanita. Begitulah semangat jihad dan cintakan Islam yang ada di dalam jiwa rakyat Malaysia. Saya yakin, jika dibenarkan rakyat Malaysia untuk pergi ke Palestin untuk berjihad, nescaya Masjid al-Aqsa sekali lagi akan menyaksikan kemunculan Salahudin. Hanya Salahudin kali ini bukannya berketurunan Kurdi, tetapi mungkin Salahudin Jawa dari Sungai Besar, atau Banjar Air Hitam ataupun Bugis dari Benut. Moralnya, Palestin dan Masjid al-Aqsa masih tetap dan akan tetap berada di dalam hati setiap Muslim.

Apa yang boleh saya lakukan untuk Palestin?, itulah soalan yang sering dikemukakan oleh ramai di kalangan para pemuda dan pemudi Islam. Sekadar menghadiri ceramah-ceramah, mengikuti perkembangan terkini dan juga menangisi syahid-syahid yang gugur dibunuh oleh tentera-tentera Zionis? Adakah itu sudah cukup?

Atau mungkin juga menghulurkan sumbangan, wang ringgit, gelang, cincin dan subang ke dalam tabung Palestin. Adakah itu sudah memadai?

Keluar berdemo, menandatangani memorandum bantahan dan juga memboikot barangan Israel dan AS. Sudah cukupkah itu semua?

Atau mungkin juga bangun di dua pertiga malam dan panjatkan doa kepada Allah SWT agar membantu para mujahidin dan mujahidah di Palestin. Adakah itu juga sudah cukup?

Saya yakin ratusan, malah ribuan dari kalangan para pemuda dan umat Islam kita mampu melakukan lebih daripada itu. Ramai di kalangan kita yang mengimpikan mati syahid seumpama mujahidin di Palestin. Syeikh Ahmad Yassin dan Dr Abdul Aziz al-Rantissi sudah cukup menjadi perangsang untuk umat Islam bangkit mengikuti jejak langkah mereka untuk bersama menuju ke syurga Illahi. Persoalannya. Adakah di sana punya ruang untuk rakyat Malaysia untuk berjihad di bumi Palestin?

Teringatkan kata-kata wakil kerajaan Palestin (HAMAS) yang datang ke Malaysia. Apabila beliau ditanyakan bagaimanakah caranya rakyat Malaysia dapat membantu saudara mereka di Palestin yang ditindas dan dizalimi, beliau menjawab:

"Anda semua tidak perlu pergi ke sana. Ianya amat membahayakan. Rakyat Palestin masih lagi cukup untuk membebaskan al-Aqsa. Kami telah pun mengorbankan nyawa, dunia dan keluarga kami untuk tujuan tersebut. Apa yang kami perlukan adalah sokongan berterusan anda dari segi material. Sekatan dan tekanan yang dikenakan ke atas kami amat payah. Kami perlukan bantuan anda agar kami dapat terus hidup dan terus berjuang. Selain daripada sumbangan material daripada anda, kami juga perlukan tekanan dari negara-negara Islam dan masyarakat antarabangsa ke atas rejim Zionis agar menghentikan sekatan yang zalim ini. Anda boleh mempengaruhi kerajaan anda dan juga masyarakat antarabangsa untuk melakukannya. Akhir sekali, doa anda semua yang ikhlas dan bersunguh-sungguh adalah bekalan kami di dalam perjuangan"

Ramai di kalangan kita yang mengimpikan mati syahid seumpama mujahidin di Palestin.

Ya, memang benar. Mereka perlukan bantuan kewangan dan material yang berterusan daripada kita untuk terus hidup. Bukanlah mereka mengemis, tetapi sekatan ekonomi yang dikenakan ke atas mereka langsung mematikan ekonomi mereka. Mereka tidak berupaya untuk mengimport dan mengekspot mahupun melakukan apa-apa urusan dagang dengan pihak luar. Mereka hanya ada sebuah kerajaan untuk memerintah rakyat tanpa menguasai ekonomi serta jalan akses dan keluar daripada tanah air mereka sendiri. Tanpa sumber yang tetap, tanpa keupayaan untuk menjual hasil nasional mereka, bagaimanakah caranya untuk mereka akan dapat terus hidup?

Maka, sumbangan berterusan haruslah dilakukan. Janganlah hanya sekali sahaja menyumbang dan kemudian tidak menyumbang lagi. Nombor-nombor akaun pertubuhan yang menyalurkan derma telah pun anda miliki (atau layari laman web: www.palestinkini.info). Jadikan amalan anda pada setiap bulan untuk memasukkan sebahagian daripada gaji anda ke dalam salah satu akaun tersebut. Insha Allah, amalan yang berterusan, walaupun sedikit, nilainya amat tinggi di sisi Allah SWT. Yakinlah, walaupun seringgit yang anda sumbangkan, tetapi jika ianya berterusan, ianya akan mendapat tempat di sisi Allah SWT.

Berkenaan dengan doa pula. Doa yang pasti akan mendapat jawapan dari Allah adalah doa dari mereka yang ikhlas dan dari mereka yang dekat dengan Allah. Jika diri kita dipenuhi dengan maksiat dan kelalaian, ianya akan melambatkan jawapan kepada doa tersebut. Oleh yang demikian, usaha untuk menjauhi, mengurangkan dan meninggalkan terus maksiat perlulah dilakukan secara berterusan agar doa kita akan cepat mendapatkan jawapannya. Usaha untuk mengajak masyarakat dan orang lain untuk sama-sama meninggalkan maksiat dan mendekatkan diri kepada Allah SWT juga perlu diperhebatkan. Ramainya orang yang beriman dan orang yang salih berdoa akan mempercepatkan lagi jawapan dari Allah yang Esa.

Doa yang pasti akan mendapat jawapan dari Allah adalah doa dari mereka yang ikhlas dan dari mereka yang dekat dengan Allah

Mencari waktu yang sesuai untuk berdoa juga adalah penting. Sepertiga malam terakhir, di kala orang ramai nyenyak tidur merupakan waktu yang amat sesuai. Jika benar kita ingin berkorban, maka korbankanlah tidur kita untuk menghadap Allah SWT di waktu tersebut. Hadapkan diri kita dengan penuh keikhlasan, harapan dan pengharapan kepada Yang Maha Mendengar. Berdoalah secara bersungguh-sungguh.

Sunnah Rasulullah SAW di waktu peperangan juga janganlah ditinggalkan. Rasulullah SAW akan melakukan Qunut Nazilah di kala berlakunya peperangan dan kecelakaan ke atas umat Islam. Di Malaysia, sunnah ini jarang diamalkan. Demi mendapatkan kemenangan buat umat Islam, maka sunnah ini perlu dihidupkan semula.

Akhir sekali, usaha memperhebatkan kempen pungutan derma, menyebarkan kesedaran dan juga menyokong segala usaha berkaitan isu Palestin merupakan tanggungjawab kita semua. Kesemuanya akan menjadi bekalan kita untuk bertemu Allah SWT di akhirat nanti. Ianya akan menjadi jawapan jika Allah AWT bertanyakan kepada kita: "Apakah yang telah kita lakukan untuk menyelamatkan Masjid al-Aqsa ketika ia di ambanr keruntuhan?, Apakah yang kita lakukan ketika saudara mara kita di sana bertungkus lumus berusaha untuk memerdekakannya?, Apakah juga yang telah kita lakukan ketika saudara-mara kita dibunuh, disembelih dan juga dizalimi demi memerdekakan Masjid al-Aqsa..."

Semoga Allah memberikan kekuatan kepada kita semua! "

0 Comments:

Post a Comment

<< Home