Aku Melawan Teroris

Friday, August 19, 2005

‘Bush pengganas terbesar dunia’

CRAWFORD: Penunjuk perasaan antiperang membakar lilin, menyanyi dan
melaungkan slogan di seluruh Amerika Syarikat kelmarin bagi menyokong
Cindy Sheehan yang berkhemah dekat kediaman Presiden George W Bush bagi
menggesa pemimpin mereka membawa pulang askar dari Iraq.

Anak Sheehan, Casey, terbunuh di negara Teluk itu setahun lalu.

Satu agensi berita memetik Sheehan sebagai berkata: “Kita bukan
melancarkan kempen memerangi keganasan. Kita sendiri yang melancarkan
perang ganas. Pengganas terbesar dunia ialah George W Bush!”

Sheehan dipetik berkata demikian dalam satu perhimpunan awal tahun ini di
Universiti San Francisco State.

Tidak syak lagi Sheehan kini menjadi tarikan aktivis antiperang yang
beramai-ramai bersamanya sejak 6 Ogos lalu di Crawford, sebuah daerah 705
penghuni, ketika Bush sedang bercuti.

Lebih 1,800 askar Amerika terbunuh di Iraq dan beribu-ribu lagi cedera.

“Kita melancarkan perang nuklear di Iraq sekarang. Negara itu sudah
tercemar. Pencemarannya berterusan sampai bila-bila.

“Jika Bush percaya dengan kata-katanya dan pembohongannya bahawa beliau
melancarkan perang untuk kebebasan dan demokrasi, adakah dia fikir setiap
orang yang dibunuhnya menjadikan Iraq lebih selamat?

“Seluruh dunia terjejas. Begitu juga dengan kemanusiaan kita. Jika dia
fikir penting bagi Iraq dipaksa mengamalkan kebebasan dan demokrasi
ala-Amerika, dia perlu hantar dua anak perempuannya ke sana. Mereka perlu
bertugas di medan perang itu,” kata Sheehan lagi.

Kumpulan antiperang seperti MoveOn.org, True Majority dan Democracy for
America menaja 1,627 perhimpunan yang digelar ‘Sesi doa untuk Cindy
Sheehan’ di 50 negeri.

Sekurang-kurangnya 60,000 orang akan hadir, kata Tom Matzzie, pengarah
MoveOn.orgm di Washington.

Di khemah Sheehan, orang yang hadir untuk memberi sokongan, membaca nama
askar yang terbunuh di Iraq di depan sebuah keranda olok-olok.

Beratus-ratus lagi berkumpul di depan Rumah Putih bagi menunjukkan
sokongan kepada Sheehan dan menggesa Bush menemuinya.

Mereka menjerit ‘jumpa dengan Cindy, beritahu perkara sebenar kepadanya’
dan ‘hentikan perang sekarang’ selain memegang sepanduk ‘America stands
with Cindy’.

Satu peta Amerika yang dilukis pada bendera kebangsaan di luar khemah
Sheehan meminta setiap pelawat menulis asal tempat mereka. Kebanyakannya
dari California selain Texas dan Pantai Timur Amerika.

Tetapi, ada juga pelawat dari negara luar termasuk Scotland, Austria,
Jepun, Turki, Jerman, Australia, Colombia, Costa Rica dan Paraguay. –
Agensi/Reuters

Petikan: Berita Harian 19 Ogos 2005

Thursday, August 04, 2005

Idea Bapa Penganas Dunia

WASHINGTON: Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS), Tom Tancredo, enggan memohon maaf atau menarik balik cadangannya supaya kota suci Makkah dibom sebagai tindak balas jika beberapa bandar negara itu diserang pengganas Islam yang menggunakan senjata nuklear.

Malah biarpun mendapat kecaman antarabangsa dari Turki, Moscow serta kerajaan AS sendiri, Tancredo yang juga anggota Republikan Denver - parti pimpinan Presiden George W Bush itu, tetap mempertahankan kenyataannya atas alasan cadangannya itu bukanlah bertujuan mencetuskan kemarahan kalangan Muslim yang berfahaman sederhana.

"Saya cuma melontarkan beberapa idea, tetapi jika serangan itu benar berlaku, ia harus dibalas dengan tindakan maksimum," katanya yang dipetik akhbar Denver, The Rocky Mountain News.

Dia juga mendakwa media sengaja memperbesar-besarkan kenyataannya itu.

Dia membuat cadangan itu dalam satu program stesen radio WFLA-AM di Orlando, Florida, apabila pengacara program berkenaan, Pat Campbell bertanyakan kepada Ahli Kongres Littleton itu bagaimanakah cara tindak balas AS jika beberapa bandar di negara terbabit diserang senjata nuklear.

"Kerana anda bertanyakan soalan itu...jika ia berlaku di Amerika dan kalau benar ia dilakukan oleh pengganas Islam...kita mungkin boleh mengebom tanah suci mereka," jawab Tancredo.

Sementara itu, di Ankara, Menteri Luar Turki Abdullah Gul menyelar kecaman Tancredo yang disifatkan tidak bertanggungjawab dan keterlaluan.

"Ini tidak lain daripada seorang fanatik yang bercakap tanpa usul periksa, tidak bertanggungjawab dan tanpa memikirkan kesan jangka panjang tindakannya itu. Ia adalah serangan peribadi," katanya yang dipetik agensi berita Anatolia.

Di Moscow, ahli Parlimen Russia, Konstantin Kosachev dalam sidang media, turut mengecam Tancredo. "Kenyataan seperti itulah yang dinantikan pengganas untuk mencetuskan huru hara dan seterusnya serangan baru. Ia keterlaluan," katanya yang dipetik agensi berita tempatan, Novosti.

Di Washington, Jurucakap Jabatan Negara Adam Ereli menyifatkan kenyataan Tancredo itu jelas menghina Islam dan tidak mewakili pendirian kerajaan AS.

"Hakikatnya, rakyat dan kerajaan AS menghormati kemuliaan agama lain dan segala tindak tanduk yang melampau itu bertentangan dengan ajaran agama masing-masing." – Age

Petikan: Berita Harian 21 Julai 2005