Aku Melawan Teroris

Thursday, November 24, 2005

Sekat! Buku Imam Samudera. Kenapa?

Ulama desak sekat buku Imam Samudra, Amrozi

JAKARTA: Kerajaan Indonesia diminta menyekat pengedaran buku yang memaparkan pandangan radikal tulisan Imam Samudra dan Amrozi, dua daripada tiga pengebom yang dihukum mati dalam kes pengeboman Bali pada 2002, kata Hasyim Muzadi, pengerusi pertubuhan Islam terbesar Indonesia, Nahdlatul Ulama (NU) kelmarin.

Agensi Berita Indonesia, Antara memetik beliau sebagai berkata kelmarin, di samping menyekat penyebaran buku terbabit, kumpulan Islam seperti Majlis Ulama Indonesia (MUI) dan NU serta gerakan Islam kedua terbesar Muhammadiyah perlu menghasilkan buku bagi memerangi buku karangan Imam dan Amrozi.

Buku tulisan dua pengebom Bali itu tidak menerangkan erti jihad dengan betul serta menjadikan Islam sebagai alat kepentingan mereka dan bukan panduan hidup serta sumber pengetahuan, agensi berita Indonesia itu memetik Hasyim sebagai berkata.

Menurutnya makna sebenar jihad ialah berjuang secara meluas bagi memperbaiki kebajikan rakyat, mewujudkan prasarana pendidikan, melindungi orang ramai dan berbuat baik kepada orang lain. “Buku Imam dan Amrozi yang melihat jihad hanya dalam bentuk perang adalah tidak betul. Oleh itu tindakan mereka juga salah,” katanya.

Hasyim berkata sasaran pengganas adalah Amerika tetapi rakyat Indonesia juga turut terbunuh seperti dalam kes serangan bom Bali, Hotel JW Marriott dan kedutaan Australia di Jakarta, jelasnya.

Dalam ajaran Islam, katanya, seseorang tidak dibolehkan membunuh orang lain kecuali dalam peperangan seperti di negara Asia Barat untuk rakyat menentang kezaliman Amerika dengan menggunakan lambang agama. “Bagaimanapun perang menggunakan simbol agama tidak relevan jika dilaksanakan di Indonesia yang tidak mengalami perang,” katanya.

Hasyim juga mengkritik penyebaran salinan video cakera padat (VCD) pengganas sebelum mereka terbabit dalam serangan bom kedua Bali pada 1 Oktober lalu. “Filem itu tidak sepatutnya diedarkan kepada umum kerana ia akan menggalakkan belia mengikuti idea pengganas.” – Agensi

Petikan: Berita Harian 24 November 2005

Aktivis Manila kecam AS

OLONGAPO (Filipina): Aktivis hak asasi wanita semalam berpiket di hadapan pejabat pendakwa kerajaan di Manila, di mana enam anggota Marin Amerika yang didakwa merogol wanita Filipina akan menjawab pertuduhan pada permulaan siasatan.

Dakwaan serangan seks ke atas wanita berusia 22 tahun di bekas pangkalan tentera laut Amerika di Subic mencetuskan kemarahan di Filipina yang pernah dijajah Amerika. Minggu lalu kerajaan membuat permintaan rasmi untuk menahan anggota Marin terbabit.

Mereka ditahan oleh Kedutaan Amerika sejak aduan difailkan 1 November lalu dan kerajaan Amerika tidak menyatakan sama ada mereka akan dipindahkan atau tidak.

Berpuluh-puluh ahli kumpulan wanita Gabriela berhimpun di hadapan Dewan Kehakiman, Bandar Olongapo, 80 kilometer di barat daya Manila, dengan membawa sepanduk menyeru dimansuhkan Perjanjian Tentera Pelawat yang membolehkan tentera Amerika berlatih di Filipina. Mereka melaungkan kata ‘keluar sekarang tentera Amerika’ dan ‘Amerika penjajah, pengganas seks.’

Setiausaha Kehakiman Raul Gonzales berkata pihak berkuasa Amerika memberikan komitmen mereka untuk menghadirkan anggota Marin terbabit apabila diperlukan. Tetapi tidak jelas sama ada tentera berkenaan hadir atau hanya menghantar peguam mereka semalam.

Pendakwa berkata mereka memanggil anggota Marin itu, wanita terbabit dan saksi, tetapi menyatakan mereka tidak berhak mengarahkan tentera Amerika berkenaan untuk hadir.

Pendakwa Bandar Olongapo Prudencio Jalandoni berkata beliau akan meminta anggota Marin itu membuat kenyataan bersumpah berhubung aduan rogol itu.

“Kami akan memastikan semua tertuduh dibicarakan berdasarkan undang-undang Filipina. Jika didapati bersalah melakukan jenayah mereka akan dihukum dengan undang-undang negara ini,” kata Setiausaha Luar Alberto Romulo kelmarin. – AP

Petikan: Berita Harian 24 November 2005

Wednesday, November 23, 2005

Penganas No. 1 Nak Bom Al-Jazeera

Bush rancang bom al-Jazeera

LONDON: Presiden George W Bush merancang mengebom stesen penyiaran al-Jazeera, lapor akhbar Britain, Daily Mirror semalam yang memetik memo Downing Street yang tertera perkataan ‘Sulit.’

Transkrip perbualan di antara Bush dan Perdana Menteri Britain, Tony Blair, setebal lima muka surat itu mendedahkan Blair bercakap mengenai pelan Bush mengenakan tindakan ketenteraan ke atas stesen itu di Qatar, kata sumber tidak dinamakan kepada akhbar yang menentang Perang Iraq.

Transkrip percakapan kedua-dua pemimpin ketika Blair melawat Washington pada 16 April lalu menunjukkan Bush mahu menyerang ibu pejabat stesen itu di Doha.

Blair didakwa bimbang serangan seumpama itu akan mencetuskan serangan balas.

Akhbar Daily Mirror memetik pegawai Britain tidak dinamakan sebagai berkata, ancaman Bush ‘sekadar jenaka, bukan sesuatu serius.’

Perspektif al-Jazeera mengenai serangan ke atas Iraq mengundang kritikan daripada Washington sejak pencerobohan terhadap negara itu pada Mac 2003.

Ia juga menyiarkan mesej daripada Osama bin Laden dan pembunuh tebusan Barat yang dipenggal kepala oleh kumpulan penentang di Iraq selain rakaman anggota tentera pakatan penceroboh yang mati serta penduduk awam yang maut dalam pertempuran.

Sumber memberitahu Daily Mirror: “Memo itu satu tamparan hebat kepada Bush. Dia bersungguh-sungguh mahu mengebom al-Jazeera di Qatar dan di tempat lain. Blair pula menjawab, ia akan menyebabkan masalah besar.

“Tidak ragu-ragu lagi Bush mahu melakukannya dan tidak ragu lagi Blair tidak mahu dia melakukannya.”

Satu lagi sumber lain berkata: “Bush amat serius, begitu juga Blair. Ia sesungguhnya amat jelas berbanding bahasa yang digunakan kedua-duanya.”

Akhbar berkenaan menyebut, memo berkenaan tiba pada Mei 2004 di pejabat ahli perundangan Britain ketika itu, Tony Clarke, yang juga anggota Parti Buruh pimpinan Blair.

Seorang kakitangan kerajaan, David Keogh, 49, dituduh menurut Akta Rahsia Rasmi kerana menyerahkannya kepada bekas penyelidik Clarke, Leo O’Connor, 42.

Kedua-duanya diikat jamin untuk muncul di Mahkamah Majistret Bow Street di tengah London, minggu depan. – AFP

Petikan: Berita Harian 23 November 2005

Friday, November 18, 2005

`berada di syurga'

Pengebom Bali dakwa `berada di syurga'

JAKARTA 17 Nov. - ``Sekarang saya sudah berada di jannah (syurga). Insya-Allah,'' kata seorang lelaki yang dikenal pasti oleh polis Indonesia sebagai seorang daripada tiga orang yang terlibat melakukan pengeboman di Bali pada 1 Oktober lalu yang membunuh 23 orang termasuk mereka bertiga.

Ucapan dalam satu video yang turut merakamkan pengakuan oleh tiga lagi lelaki yang dikaitkan dengan pengeboman berani mati itu, ditontoni bersama oleh Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla dan beberapa ulama dari Jawa Timur di kediamannya di sini malam tadi.

Pengakuan itu dikatakan dirakam beberapa hari menjelang kejadian di Kuta dan Jimbaran, dua pusat tumpuan pelancong di pulau peranginan terkemuka itu, demikian menurut laman web berita Metrotvnews hari ini.

Seorang pengebom berani mati, yang rupanya dikatakan mirip kepala lelaki yang tertanggal dalam aksi bom bunuh diri di Cafe Nyoman, Jimbaran dirakam berkata demikian selain membacakan beberapa petikan ayat dalam al-Quran untuk membenarkan tindakannya.

Seorang lagi berkata: ``Dalam al-Quran disebutkan seseorang yang mati syahid itu berada dalam perut burung hijau yang terbang ke jannah.

``Jangan sekali-kali menyangka yang terbunuh di jalan Allah itu mati, padahal mereka hidup,'' katanya.

Dalam rakaman itu dia juga ditampilkan bercakap dalam bahasa Arab.

Lelaki berwajah mirip kepala pengebom berani mati di Raja's Bar & Restaurant di Kuta dalam rakaman itu pula mengucapkan salam perpisahan kepada ibunya dengan menyebut: ``Terima kasih kepada ibu. Ibu, aku teringat akan semua nasihat yang sangat berharga bagiku. Lebih berharga dari semua kemewahan dunia ini,'' katanya.

Dia meneruskan ucapan dalam bahasa Arab.

Seorang lagi yang dipercayai oleh polis Indonesia sebagai rakyat Malaysia, Nordin Mat Top kerana bercakap dalam loghat Melayu dalam video yang sama.

Menurut akhbar Jawa Pos pula, pelbagai alasan disebutkan oleh ketiga-tiga pengebom berani mati itu untuk menjelaskan kenapa mereka bertindak demikian, termasuklah demi melakukan jihad melawan Amerika Syarikat, Australia, Britain dan Itali.

VCD selama 15 minit itu dijumpai oleh polis di sebuah rumah yang dipercayai tempat persembunyian Nordin di Semarang, Jawa Tengah baru-baru ini.

Selepas menonton rakaman video itu, beberapa ulama berkata, pengebom berani mati berkenaan keliru dan ajakan mereka untuk berjihad juga salah tempat kerana di Indonesia majoriti rakyatnya beragama Isam.

Polis Indonesia dikatakan akan menyebarkan salinan pita video itu khususnya kepada para ulama untuk membantu menjelaskan kepada masyarakat konsep jihad yang sebenar dan kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan oleh pengebom berani mati itu. - Bernama

Petikan: Utusan Malaysia 18 November 2005

Amaran!!!

LELAKI bertopeng, yang dipercayai oleh pihak berkuasa Indonesia sebagaiNordin Mat Top membuat pengakuan untuk melancarkan serangan di sasaranyang ada kepentingan dengan Barat. Pengakuannya disiarkan oleh Metrotvnews semalam. - AFP.

Amaran pengganas serang negara ASEAN

JAKARTA 17 Nov. - Ketua Polis Indonesia, Sutanto hari ini menggesa negara-negara Asia Tenggara berjaga-jaga terhadap kemungkinan serangan berani mati selepas serangan-serangan yang dilancarkan di negara itu baru-baru ini.

Sutanto yang bercakap pada majlis pembukaan pertemuan ketua-ketua polis ASEAN berkata, kumpulan-kumpulan militan sentiasa menukar strategi bagi mengelak mereka daripada ditangkap.

Beliau menyatakan demikian selepas penyiaran sebuah video yang dirampas oleh polis Indonesia pada minggu lalu yang menunjukkan seorang lelaki bertopeng memberi amaran serangan-serangan lanjut akan dilancarkan ke atas Barat terutamanya Australia.

``Kebanyakan serangan bom ini dilancarkan oleh penyerang berani mati dan ia juga mungkin berlaku di negara-negara anggota ASEAN ekoran kita gagal mencari jalan menghalangnya,'' katanya.

Beliau berkata, pihaknya mendapat maklumat pengganas berkenaan sentiasa meningkatkan kecanggihan mereka dan kerjasama dengan pelbagai kumpulan bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.

Dalam pada itu, lelaki bertopeng berkenaan, yang dipercayai oleh pihak berkuasa Indonesia sebagai Nordin Mat Top memberi amaran lebih banyak serangan akan dilancarkan ke atas negara-negara Barat terutamanya Australia.

Naib Presiden Indonesia, Yusoff Kalla yang dipetik oleh akhbar Kompas berkata, beliau yakin anggota militan bertopeng itu merupakan Nordin, operatif kanan Jemaah Islamiyah (JI) dan pengganas paling dikehendaki.

Nordin kini menjadi sasaran buruan pihak berkuasa Indonesia.

``Kami ulangi bahawa Amerika, Australia, England dan Itali adalah musuh,' kata anggota militan terbabit yang bertopeng hitam dan acap kali mengangkat jari kanannya.

``Kami memberi peringatan, khususnya Australia dan kamu, Downer dan Howard membunuh Australia, membawa kepada kegelapan dan kemelaratan dan keganasan,'' kata lelaki tersebut dengan merujuk kepada Perdana Menteri Australia, John Howard dan Menteri Luar, Alexander Downer.

``Ketahuilah selagi kamu (semua) terus menjajah bumi Iraq serta Afghanistan dan selagi menakut-nakutkan umat Islam kamu akan merasai ketakutan dan keganasan,'' katanya.

Militan itu juga memberi amaran kepada pihak yang menyokong tindak-tanduk Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush dan Perdana Menteri Britain, Tony Blair. - Reuters

Petikan: Utusan Malaysia 18 November 2005

Thursday, November 17, 2005

Senjata Fosforus Putih

Pentagon akui guna senjata fosforus putih

JASHINGTON 16 Nov. - Pentagon semalam mengakui bahawa tentera Amerika Syarikat (AS) menggunakan fosforus putih sebagai senjata untuk memusnahkan kubu-kubu gerila semasa pertempuran di Fallujah pada November tahun lalu.

AS bagaimanapun menafikan laporan sebuah stesen televisyen Itali bahawa bahan yang sangat mudah terbakar itu telah digunakan terhadap pendudukawam.

Jurucakap Pentagon, Leftenan Kolonel Barry Venable berkata, sungguhpun fosforus putih paling kerap digunakan untuk menandakan sasaran atau melindungi kedudukan, bahan kimia itu pernah digunakan di Fallujah sebagai senjata untuk membakar gerila anti-AS.

``Senjata itu tidak digunakan terhadap orang awam,'' kata Venable.

Jurucakap itu meminta wartawan merujuk kepada sebuah artikel dalam majalah rasmi tentera AS, Army's Field Artillery edisi Mac-April 2005.

Dalam artikel itu, veteran pertempuran di Fallujah menceritakan pengalaman mereka menggunakan fosforus putih dan senjata lain.

Menurut penulis artikel, bahan itu digunakan untuk memaksa gerila keluar dari kubu dan tempat persembunyian mereka sebelum dihapuskan dengan bahan letupan berkekuatan tinggi.

Pertempuran untuk menguasai Fallujah adalah yang paling sengit dan berdarah dalam perang di Iraq berikutan kejatuhan Baghdad pada April 2003.

Bandar yang terletak kira-kira 60 kilometer ke Baghdad itu merupakan kubu kuat gerila.

Penulis artikel terbabit mendakwa mereka tidak menemui ramai penduduk awam di kawasan operasi.

Televisyen RAI24 Itali minggu lepas menyiarkan dokumentari yang mendakwa tentera AS menggunakan senjata fosforus putih secara besar-besaran dan sembarangan terhadap penduduk awam semasa operasi di Fallujah. - AP

Petikan: Utusan Malaysia 17 November 2005

Tuesday, November 15, 2005

Kronologi mengenai Dr. Azhari Husin

1975:

Dr. Azhari Husin memulakan pengajian peringkat sarjana muda Universiti Adelaide, Australia.

1979:

Dia gagal menamatkan pengajian di Universiti Adelaide.

1985:

Azhari mengahwini Wan Noraini Yusof dan memiliki dua anak.

1986 hingga 1990:

Melanjutkan pelajaran dan mendapat ijazah kedoktoran (Ph.D.) dalam bidang hartanah dari Universiti Reading, United Kingdom.

1990:

Beliau dan isterinya, Wan Noraini Jusoh bertugas sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.

1993:

Pertama kali didedahkan dengan pertubuhan Jemaah Islamiah selepas menghadiri kelas agama di Johor Bahru.

April 1999:

Menerima latihan ketenteraan dan mencipta bom serta menemui Osama bin Laden di Afghanistan dan Selatan Filipina.

Awal 2000:

Azhari menghadiri latihan selama enam bulan mengendalikan kemahiran mencipta letupan bom yang lebih kuat di Kem Faruq, Afghanistan.

2001:

Pembabitan Azhari dalam pergerakan militan dikesan apabila Polis Diraja Malaysia berjaya melumpuhkan Kumpulan Militan Malaysia (KMM).

1 Oktober 2002:

Dipercayai terbabit membuat salah satu bom yang meletup di pusat hiburan di Bali yang mengorbankan 202 pengunjungnya.

5 Ogos 2003:

Beliau dan Nordin Mat Top dikaitkan dengan pengeboman Hotel JW Marriott di Jakarta yang mengorbankan 12 orang.

2 November 2003:

Azhari dan Nordin Mat Top membolosi kepungan polis Indonesia dan dipercayai melarikan diri ke Jawa Timur.

9 September 2004:

Beliau dikaitkan dengan pengebom bunuh diri di luar Kedutaan Australia di Jakarta yang mengorbankan 12 orang dan mencederakan 180 orang.

10 September 2004:

Pertubuhan JI yang didalangi oleh Azhari dan Nordin dipercayai bertanggungjawab melancarkan serangan bom kereta di luar kedutaan Australia di Jakarta.

11 September 2004:

Polis Indonesia menemui kesan bahan letupan diguna untuk menyerang kedutaan Australia, di dalam sebuah bilik yang dipercayai disewa oleh Azhari.

13 September 2004:

Duta Indonesia ke Australia, Imron Cotan mendakwa Dr. Azhari Husin turut terlibat dengan pakatan membunuh Presiden Indonesia, Megawati Sukarnoputri.

15 September 2004:

Polis Indonesia menawarkan ganjaran 2 bilion rupiah (RM798,000) bagi maklumat membawa kepada penangkapan Azhari dan Nordin.

16 September 2004:

Polis Indonesia mengeluarkan lakaran wajah 10 pengganas yang paling dikehendaki termasuk Azhari dan Nordin.

8 November 2004:

Polis Indonesia semakin hampir mengenal pasti lokasi Azhari dan Nordin.

8 Januari 2005:

Polis Indonesia sekali lagi menawarkan hadiah wang tunai satu bilion rupiah (RM406,600) untuk maklumat yang boleh membawa kepada penangkapan Azhari dan Nordin.

19 April 2005:

Pihak berkuasa Indonesia mendedahkan sepucuk surat dipercayai berkaitan dengan Azhari menyatakan mengenai rancangan sedang diatur untuk melancarkan serangan besar-besaran ala Bali di Indonesia.

25 Mei 2005:

Polis Indonesia mengumumkan telah mengesan pengganas Azhari dan Nordin bersembunyi di Kalimantan.

28 Mei 2005:

Azhari didakwa mendalangi letupan dua butir bom di sebuah pasar yang sibuk di Pulau Sulawesi hingga menyebabkan 22 orang terbunuh dan 60 tercedera.

6 Jun 2005:

Polis Jakarta mengenal pasti 28 lokasi sensitif ekoran ancaman serangan bom terbaru dari kumpulan pengganas Azhari dan Nordin sekitar Jakarta.

1 Ogos 2005:

Pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden didakwa membiayai serangan di kedutaan Indonesia dengan menghantar bungkusan mengandungi AS$10,000 (RM27,750) kepada Azhari menggunakan khidmat kurier.

1 Oktober 2005:

Lima letupan serentak di Bali menyebabkan 32 maut serta 101 cedera dipercayai didalangi oleh Azhari dan Nordin.

3 Oktober 2005:

Azhari didakwa dalam proses mewujudkan kumpulan mereka sendiri setelah dipercayai berpecah daripada pertubuhan JI.

9 November 2005:

Azhari terbunuh dalam serbuan pasukan polis dan tentera di sebuah rumah sewa di Batu Malang, Jawa Timur selepas berbalas tembakan dengan pihakberkuasa Indonesia.


Link berkaitan:

Foto-foto penangkapan Dr Azhari
Dr. azhari from fun bloke
dr. azhari capture
the demolition man is dead

Azhari Syahid?


Rakan `cemburu' Azhari mati lebih awal

CILACAP 12 Nov. - Rakan-rakan Dr. Azhari Husin dalam Jemaah Islamiah (JI) di penjara Nusakembangan, `cemburu' dengan kematian rakyat Malaysia yang paling dikehendaki itu kerana `syahid' lebih awal.

``Saya iri hati Azhari meninggal dunia lebih dulu. Kalau memang benar yang meninggal dunia itu Azhari, dia mati syahid lebih dulu daripada saya.

``Saya yang sudah dijatuhi hukuman mati belum dihukum, tetapi dia sudah syahid dulu,'' kata Amrozi kepada wartawan Jawa Pos semalam.

Wartawan itu berjaya menyusup masuk ke penjara Nusakembangan mengikut keluarga para banduan sempena sambutan Aidilfitri.

Ditanya, Amrozi mengaku dia sudah mengetahui berita kematian Azhari tanpa menjelaskan lebih lanjut bagaimana maklumat mengenainya diperoleh.

Bagaimanapun dia masih tidak yakin seratus-peratus Azhari telah mati kerana baginya, lelaki itu licik dan mampu memboloskan diri.

Ditanya apakah kematian Azhari akan mampu menghentikan keganasan, Amrozi menegaskan:

``Selagi Amerika dan sekutunya bertindak zalim terhadap orang Islam, (bom) tidak akan pernah berhenti (meletup),'' katanya.

Imam Samudra yang berasal dari Serang, Banten menyatakan, Azhari syahid jika dia memang terbunuh dalam serbuan polis elit Indonesia di Kota Batu, Malang.

``Kalau memang dia sudah meninggal, dia yang lebih syahid dulu. Dia lebih dahulu bertemu bidadari-bidadari cantik di sana (syurga).

``Namun tidak mengapa, saya juga akan menyusul syahid,'' tegasnya.

Namun Imam Samudra turut menyatakan kesangsiannya mengenai kematian Azhari sambil menjelaskan bahawa dia khuatir ia hanya rekaan pihak polis untuk mendapat kenaikan pangkat.

``Kalau memang betul Azhari, perlu didedahkan secara terbuka bersama dengan bukti-buktinya,'' katanya lagi.

Dia mengatakan, kematian Azhari tidak bermakna akan berhenti serangan bom kerana akan muncul lebih ramai pengganti lelaki itu bagi membalas kekejaman AS.

``Tidak akan berakhir bom-bom ini. Semangat Azhari belum mati kerana nanti akan hadir pengganti yang akan membela umat Islam yang tertindas,'' ujarnya. - Agensi

Petikan: Utusan Malaysia 13 November 2005